SIRI Piala Presiden mula menampakkan hasil buat pelumba trek muda negara, apabila Hafiq Jafri meraih pingat gangsa pada perlumbaan omnium, Siri Kedua Piala Presiden, pada Sabtu.
Kejayaan mengumpul 120 mata membolehkannya menduduki tempat ketiga dalam acara omnium lelaki, di belakang dua pelumba Indonesia, Andy Royan (121 mata) dan Bernard Van Aert (129 mata).
Rakan sepasukan Hafiq, Lau New Joe, berada di tempat keempat dengan 104 mata.
Hafiq, yang bakal menyambut hari lahir ke-20 pada Selasa (21 Januari), jelas tidak mampu menyembunyikan kegembiraannya ketika menaiki podium.

Hafiq Jafri menyasarkan untuk terpilih ke Kejohanan Berbasikal Trek Asia bulan depan, selain Sukan Sea di Thailand, Disember nanti.
“Saya tidak rasa begitu baik semasa Siri Pertama, saya rasa seperti belum betul-betul panas badan,” kata Hafiq.
Siri Piala Presiden 2025 merangkumi tiga peringkat membabitkan Siri Pertama (14-15 Januari), Siri Kedua (18-19 Januari), dan Siri Ketiga (22-23 Januari).
“Hari ini saya rasa lebih baik dan cuba mengubah beberapa perkara, yang membantu saya menjadi lebih kompetitif dan berjuang untuk pingat.
“Sudah tentu, saya sangat gembira dengan kemenangan pingat ini, tetapi saya percaya masih banyak aspek yang boleh saya perbaiki, seperti pecutan dan percubaan breakaway.”

Omnium ada satu perlumbaan endurance di trek yang memerlukan ketahanan stamina dan strategi perlumbaan.
Hafiq, yang mula berlumba basikal pada usia 11 tahun, berkongsi rasa terujanya untuk menghadapi Kejohanan Trek Asia yang akan berlangsung di Nilai bulan depan.
“Piala Presiden ini pada asasnya adalah kejohanan pemilihan untuk kami (pelumba kebangsaan) menjelang Kejohanan Asia.
“Jika boleh, saya juga ingin berlumba dalam acara omnium di Kejohanan Trek Asia nanti. Saya mahu menguji keupayaan saya di peringkat yang lebih tinggi.

Hafiq (berjersi hitam) mengintai peluang untuk memintas dan memungut mata pada perlumbaan omnium.
“Saya pertama kali berlumba dalam kategori senior elit di Kejohanan Asia di India tahun lalu dan berjaya menduduki tempat ketujuh dalam acara omnium.
“Saya rasa kini saya lebih matang dan telah meningkat sedikit, jadi saya ingin melihat sejauh mana saya telah berkembang. Ia bukan perlumbaan yang mudah, tetapi saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran itu,” ujar Hafiq lagi.
Hafiq turut menyatakan hasratnya untuk menyertai skuad Sukan Sea di Thailand pada Disember depan, yang dijangka akan mempertandingkan disiplin endurance track.