PERTAHANAN Paris Saint-Germain (PSG) dan Maghribi, Achraf Hakimi sedang berdepan siasatan jenayah setelah didakwa terlibat dalam kes rogol.

Bagaimanapun, dia menafikan dakwaan terhadapnya yang dibuat seorang wanita berusia 24 tahun yang menegaskan bahawa dirinya dirogol Hakimi dalam rumahnya di Paris pada 25 Februari.

Hakimi kini berada di bawah pengawasan polis dan dilarang berhubung bersama wanita berkenaan.

Biarpun begitu, peguam Hakimi, Fanny Colins menyatakan bahawa Hakimi menjadi mangsa keadaan dan difitnah.

“Dia (Hakimi) sebulat suara menafikan dakwaan rogol terhadapnya dan membiarkan siasatan dilakukan dengan biasa kerana pada akhirnya dia mempunyai peluang untuk mempertahankan dirinya,” jelas peguam Hakimi.

Sementara itu, kelab PSG mengambil keputusan menyokong pemain tersebut dan akan terus membenarkan Hakimi beraksi selagi dia tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Kelab menyokong pemain, yang telah menafikan tuduhan tersebut dan kami percaya kepada sistem perundangan negara Perancis. Paris Saint-Germain adalah kelab yang mempromosikan nilai hormat dalam dan luar gelanggang,” menurut kenyataan kelab Paris Saint Germain.

Dalam pada itu, pengurus PSG, Cristophe Galtier menolak memberikan sebarang komen terhadap perkara tersebut.

PSG dijadualkan bertemu Bayern Munich dalam pusingan ke-16 aksi Liga Juara-Juara, dengan Hakimi dijangka akan diturunkan selepas pulih daripada kecederaan otot.

“Tujuan kami dengan staf medikal adalah untuk dia bersama skuad pada aksi berdepan Bayern Munich,” ujar Galtier.

Sebagai rekod, Hakimi adalah antara pemain tonggak yang berjaya membawa Maghribi menjadi pasukan Afrika pertama melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2023 Qatar.