TAN Sri Mohamad Norza Zakaria mengukuhkan kedudukannya dalam dunia pentadbiran sukan negara, apabila menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029, menjadikannya berada di kerusi itu untuk penggal ketiga berturut-turut.
Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu kekal diberi kepercayaan oleh ahli gabungan MOM, sekali gus memperlihatkan pengaruh dan peranannya yang signifikan dalam membawa halatuju baharu kepada sukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM)
Turut menang tanpa bertanding ialah Datuk Mohd Nasir Ali yang mengambil alih jawatan Setiausaha Agung daripada Datuk Mohd Nazifuddin Najib yang tidak mempertahankan jawatan berkenaan.
Nasir kini merupakan Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia.
Pengumuman awal senarai calon dibuat oleh Panel Bebas diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril yang menyelia proses pemilihan.

Y.A. Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril (Kanan), Hakim Mahkamah Rayuan, Y.Bhg. Datuk Harjit Singh Sidhu, seorang ejen cukai berlesen dengan Kementerian Kewangan Malaysia.
Namun, sebarang kemenangan hanya akan dimuktamadkan secara rasmi selepas proses pengundian pada 19 April ini.
“Secara prinsipnya, calon-calon tertentu sudah menang tanpa bertanding. Namun, kami hanya akan umumkan secara rasmi selepas pemilihan selesai bagi mengelak sebarang kemungkinan,” kata Mohd Firuz dalam sidang media di Wisma MOM.
Sementara itu, tumpuan kini terarah kepada saingan merebut jawatan Timbalan Presiden yang bakal menyaksikan pertembungan dua nama besar dalam arena sukan – Datuk Nur Azmi Ahmad (karate) dan Datuk Awalan Abdul Aziz (boling padang), susulan keputusan penyandang, Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahankan jawatan itu.
Jawatan Naib Presiden turut mencuri perhatian apabila tujuh calon bertanding melibatkan lima lelaki dan dua wanita bagi menduduki lima posisi.
Datuk Chong Kim Fatt (wusyu), Datuk Mohd Sumali Reduan (sepak takraw), Datuk Iruan Zulkefli (tinju), Gerard Monteiro (skuasy), dan Azizul Anuar Adenan (taekwondo) akan bertanding bersama bekas atlet olahraga, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar dan bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah.

Pengumuman awal senarai calon dibuat oleh Panel Bebas diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril yang menyelia proses pemilihan.
Dalam perkembangan lain, Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin dari Persatuan Kriket Malaysia akan menyandang jawatan Bendahari, manakala Datuk V Subramaniam (Pemangku Presiden BAM) kekal sebagai Penolong Bendahari — kedua-duanya menang tanpa bertanding.
Jawatan Penolong Setiausaha Agung Lelaki pula menyaksikan pertembungan antara Arif Astaman (Persekutuan Berbasikal Malaysia) dan Melvin Chia (Persatuan Biliard & Snuker), sementara kategori wanita dimenangi tanpa bertanding oleh Moira Tan Siew See (bekas pemain bola jaring).
Pemilihan kepemimpinan baharu MOM dijadual berlangsung secara rasmi pada 19 April di ibu negara, dan dijangka menarik perhatian seluruh komuniti sukan tanah air.