PEMAIN tengah Arsenal, Mohamed Elneny mengisi masa Ramadan dengan menziarah ke bumi Mekah. Elneny kerap diketepikan musim ini kerana kecederaan.

Kecederaan itu dianggap serius sehingga memaksa pemain tengah dari Mesir itu menjalani operasi pembedahan.

Elneny tampil sebanyak lapan kali musim ini. Dia tidak dapat bermain sehingga kini kerana masih dalam pemulihan daripada kecederaan.

Keadaan ini membuatkan Elneny berpeluang menghabiskan masa di luar bola sepak. Tidak terperangkap dalam hiruk-pikuk permainan, lelaki berusia 30 tahun ini menggunakan masa yang ada untuk menunaikan ibadah umrah.

Elneny berkongsi aktiviti ziarah di bulan Ramadan menerusi akaun Instagram miliknya. Dia memuat naik gambar menggunakan kain ihram di hadapan Kaabah.

Foto itu dibanjiri dengan respons positif. Beberapa komen berharap dalam doanya Elneny akan mendoakan Arsenal memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Arsenal kini berada di landasan yang betul untuk melakukan perkara itu. The Gunners kini berada di tangga teratas EPL dengan 72 mata. Mereka berada lapan mata di hadapan Manchester City di tempat kedua.

The Gunners sendiri masih menaruh kepercayaan yang tinggi kepada Elneny walaupun pemain itu telah banyak bergelut dengan kecederaan. Ini ditunjukkan oleh Arsenal yang memutuskan untuk menyambung kontrak Elneny pada Februari lalu.

Elneny melanjutkan tempoh perkhidmatannya untuk Arsenal untuk musim hadapan. Bekas pemain tengah FC Basel itu miliki kontrak bersama Arsenal sehingga Jun 2024.