KEJOHANAN Jemputan Wanita Antarabangsa di China menjadi medan persiapan terakhir skuad hoki wanita negara dalam misi meraih pingat emas Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Malaysian Tigress akan berangkat ke China pada 15 April ini, dan hanya pulang ke tanah air pada 26 April, sekali gus menuntut pengorbanan pemain berhari raya Aidilfitri di perantauan.

Jurulatih hoki wanita, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, kejohanan jemputan membabitkan empat pasukan di Pusat Latihan Hoki Wujin di Wilayah Jiangsu itu, menjadi persediaan terbaik buat skuad wanita yang kekurangan perlawanan antarabangsa, selain membentuk jati diri dan ketahanan mental, terutamanya apabila pemain terpaksa mengetepikan perayaan bersama keluarga.

“Kejohanan di China ini amat sesuai untuk kita bersedia ke Sukan Sea dan seterusnya Sukan Asia nanti. Bulan puasa ini platform terbaik untuk lihat siapa yang sanggup berkorban buat pasukan,” kata Nasihin.

Tambah beliau, program dibentuk sebegitu bagi memastikan pemain terpilih hanya fokus kepada kem latihan kerana selain terpaksa mengorbankan perayaan, mereka juga hanya ada tempoh seminggu di tanah air sebelum berangkat ke Kemboja.

Kejohanan Jemputan membabitkan empat pasukan di China, persediaan terbaik skuad Malaysian Tigress sebelum ke Sukan Sea Kemboja, juga untuk persediaan ke Sukan Asia. -Jurulatih hoki wanita, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim.

“Sekarang kita lihat Thailand yang menang kejohanan empat penjuru di Hong Kong. Mereka pasukan sama tetapi persembahan yang berbeza, jadi kita boleh simulasikan perlawanan kita di China nanti,” katanya.

Nasihin mahu menjadikan perlawanan menentang kelab elit dari Jepun dan dua pasukan China sebagai medan pemilihan terakhir sebelum menyenaraikan senarai 18 terbaik ke Sukan Sea Kemboja 2023.

Kejohanan itu juga menjadi platform terbaik buat barisan kejurulatihan merencana formula bagi mengisi kekosongan lima pemain yang dihantar memperkuatkan skuad hoki dalam dewan.

Lima pemain itu ialah tonggak pertahanan berpengaruh, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun, Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi, Iren Hussin dan Nur Atira Mohamad Ismail.

“Kita bawa 20 pemain daripada senarai 29 dan 18 terbaik akan diumumkan selepas pulang dari China nanti. Saya harap mereka yang ke China nanti akan berikan yang terbaik,” jelas Nasihin.