BOLA sepak England mencatat sejarah baharu apabila Stuart Attwell menjadi pengadil pertama yang menjelaskan keputusan Video Assistant Referee (VAR) secara langsung kepada penyokong di stadium.
Kejadian ini berlaku semasa pertembungan separuh akhir Piala Carabao antara Tottenham Hotspur dan Liverpool, di mana Dominic Solanke menyangka dia telah menjaringkan gol pendahuluan dalam separuh masa kedua.
Gol tersebut disahkan oleh VAR sebagai tidak sah kerana offside dalam fasa gerakan serangan.
Selepas semakan VAR dilakukan, Attwell membuat pengumuman melalui sistem pembesar suara stadium untuk menjelaskan keputusannya.
“Selepas semakan, Dominic Solanke berada dalam kedudukan offside dalam fasa gerakkan gol, keputusan saya adalah offside,” kata Attwell.
Pengumuman tersebut menjadi detik bersejarah dalam bola sepak England dan merupakan sebahagian daripada percubaan yang dijalankan semasa separuh akhir Piala Carabao.
Langkah ini diterajui oleh Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) bertujuan meningkatkan komunikasi dan kejelasan kepada penyokong.
Walaupun perlawanan separuh akhir antara Arsenal dan Newcastle sehari sebelumnya tidak memerlukan sebarang intervensi VAR, perlawanan awal pagi Khamis itu memberikan peluang unik untuk menguji pendekatan baharu ini.
Tottenham memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan lewat oleh Lucas Bergvall pada minit ke-86, memberikan mereka kelebihan satu gol sebelum aksi kedua di Anfield.
Langkah memperkenalkan pengumuman VAR secara langsung ini dijangka membuka lembaran baharu dalam cara bola sepak moden disampaikan kepada penyokong dengan jelas.