PEMAIN nombor empat dunia, Chou Tien Chen memperkuat pasukan Ampang Jaya BC (AJBC) pada saingan SENHENG redone Purple League Profesional (SRPLP), dalam misi meraih kejuaraan kali ini.
Menjelang beberapa hari sahaja lagi liga bermula di Sadium Melawati, Shah Alam, AJBC yang diletakkan selaku pilihan mempertaruh gandingan pemain berpengalaman dan juga pemain muda.
Selain Tien Chen, gandingan beregu campuran professional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai, perseorangan wanita Goh Jin Wei dan beregu lelaki Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi memperkuat pasukan itu.
Pengurus pasukan AJBC, Voon Siaw Yie berkata, biarpun pasukannya tidak dibarisi nama besar seperti Kento Momota dan Lee Zii Jia seperti musim 2019, mereka tetap mempunyai misi besar memburu kejuaraan.
“Dengan barisan pemain berkelas dunia ini, kami yakin mampu mencipta kejutan pada edisi kali ini. Kami melalui persediaan yang rapi, dan saya harap momentum ini diteruskan dalam SRPLP,” katanya.
Kejohanan yang memasuki musim keenam penganjuran itu terus mendapat sambutan apabila acara utama anjuran Malaysia Purple League (MPL) kali ini, buat julung kalinya disertai empat kelab dari luar negara.
Bagi musim baharu ini, lapan pasukan bertanding terdiri daripada empat pasukan tempatan dan empat pasukan antarabangsa yang akan merebut kejuaraan bermula Sabtu ini.
AJBC yng muncul juara pada edisi 2018 diletakkan di dalam kumpulan A bersama wakil Indonesia, Kelab Badminton Chandra Wijaya, pasukan badminton Singapura dan seteru mereka Kelab Badminton Petaling.
Sementara itu, juara bertahan Kelab Badminton Puchong United bakal berdepan laluan getir di dalam kumpulan B bersama-sama Kelab Badminton Serdang, Kelab Badminton Sena Bangkok dari Thailand dan wakil Vietnam, Kelab Badminton Ho Chi Minh.
Musim keenam SENHENG redONE Purple League Profesional akan bermula pada 1 hingga 6 Oktober di Stadium Malawati, Shah Alam manakala pusingan akhir pada 8 hingga 9 Oktober akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands.