MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyambut baik peruntukan RM580 juta untuk sektor sukan dalam Belanjawan 2026, yang disifatkan sebagai peningkatan besar lebih 150 peratus berbanding tahun lalu.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, peningkatan signifikan itu amat penting bagi mengekalkan serta memperkukuh program berprestasi tinggi sedia ada seperti Road to Gold, Podium dan Pelapis.

Katanya, langkah kerajaan itu juga tepat pada masanya untuk menyokong persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-15 pada 2027.
“Kami menzahirkan penghargaan tertinggi kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peningkatan besar dalam bajet sukan 2026,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memuji peningkatan bajet sukan sebanyak 150 peratus.
Norza turut memuji inisiatif kerajaan untuk menyelenggara dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara sihat dan rakyatnya aktif bersukan.
Beliau berkata, komitmen kerajaan menaik taraf padang sukan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan juga amat dihargai kerana sekolah adalah asas penting melahirkan juara masa depan negara.
“Kami berharap peruntukan besar ini digunakan dengan bijak dan telus demi memperkukuh keseluruhan ekosistem sukan negara,” katanya yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA).