KERAJAAN memperuntukkan lebih RM580 juta bagi pembangunan sukan negara tahun depan, menandakan komitmen serius melonjakkan prestasi atlet di pentas dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata, dana besar itu akan memacu pelbagai inisiatif termasuk program Road to Gold (RTG) serta persediaan menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 di Malaysia.
Menurut beliau, peruntukan itu turut merangkumi usaha memperkasa atlet para dan sukan orang pekak, selain menaik taraf kemudahan sukan dan padang sekolah di seluruh negara.
“Seyogia, pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih besar berjumlah lebih RM580 juta ringgit,” katanya ketika membentangkan bajet di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada wira dan wirawati negara termasuk Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Pearly Tan-Thinaah Muralitharan yang melakar sejarah di Kejohanan Badminton Dunia 2025.
Malaysia juga menutup tirai Sukan SEA Pekak 2025 dengan gemilang apabila muncul juara keseluruhan menerusi pungutan 25 emas, 16 perak dan 11 gangsa.
Turut disebut, Datuk Latif Romly yang sekali lagi mengharumkan nama negara apabila memecahkan rekod sendiri untuk meraih emas dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia.
Sebagai galakan tambahan, kerajaan turut membenarkan organisasi diluluskan LHDN menggunakan sebahagian pendapatan mereka untuk menjalankan aktiviti pembangunan sukan, sekali gus memperkukuh ekosistem sukan tanah air.