ENTAH malang atau strategi menjelang Masters China minggu hadapan, apabila pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan aksi di bawah “par” ketika tersingkir kali kelima di pusingan pertama musim ini.

Dalam aksi di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, gandingan ranking No.2 dunia itu akur tewas 13-21, 13-21 kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy dalam tempoh tidak sampai setengah jam (28 minit), sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Hong Kong.

Kekalahan tersebut mengejutkan kerana Aaron-Wooi Yik turun selaku pilihan utama kejohanan menentang lawan ranking ke-15 dunia.

Lebih mengecewakan, mereka dilihat bergelut dengan prestasi sendiri apabila kerap melakukan kesilapan mudah sepanjang perlawanan, satu aksi yang cukup diragui.

Aaron-Wooi Yik tewas kali ketiga kepada Ben Lane-Sean Vendy dari England.

Pada Kejohanan Dunia di Paris , Aaron-Wooi Yik turut gagal mempertahankan reputasi selepas terkandas di peringkat suku akhir.

Musim ini menyaksikan prestasi mereka tidak menentu biarpun pernah menjuarai Terbuka Thailand, Terbuka Singapura dan Kejohanan Badminton Asia.

Di sebalik tiga kejuaraan dan dua naib juara, Aaron-Wooi Yik sudah tersingkir seawal pusingan pertama di Masters Orleans, Seluruh England, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Hong Kong.