PEMAIN pertahanan negara, Dion Cools mengambil sikap rendah diri dengan mengatakan mana-mana pemain berhak dianugerahkan ‘Man of The Match’ ketika aksi kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa malam.

Dion berkata perjalanan skuad Harimau Malaya telah melalui pelbagai ranjau berduri dan kini perlu diraikan terlebih dahulu sebelum Malaysia meneruskan tugas getir di pentas Piala Asia 2023.

“Bola sepak adalah sukan kolektif, saya rasa sesiapa sahaja boleh menjadi ‘Man of The Match hari ini’, saya rasa semua melakukan tugas yang baik.

 

“Seperti yang jurulatih katakan, kita telah menempuhi perjalanan yang panjang, sudah memasuki satu bulan, saya rasa kita perlu raikan momen layak ke Piala Asia,” ujarnya selepas perlawanan.

 

Jelasnya, dia tidak mahu memikirkan tentang pasukan lain, sebaliknya perlu fokus dan terus mensasarkan kemenangan.

Pemain berusia 26 tahun itu sebenarnya mengimpikan jaringan yang lebih besar namun harus menerima hakikat mungkin terdapat beberapa kelonggaran di posisinya yang masih perlu diperbaiki.

“Ia kadangkala agak sukar kerana mungkin seri sudah memadai, mungkin 1-0 mencukupi, tetapi kita terus fokus dan kita mahu menang perlawanan ini walaupun kita memiliki kelebihan yang besar untuk layak.

“Saya sanggup mati untuk pasukan kebangsaan. Kita telah jaringkan 4 gol, sepatutnya mungkin tujuh atau 8 gol, dan ada sedikit ruang yang masih boleh diperbaiki,” tambah Cools.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad senior kebangsaan layak ke Piala Asia setelah kali terakhir melakukannya melalui merit 42 tahun yang lalu.