SKUAD Harimau Malaya mendapat semangat tambahan apabila menerima lawatan mengejut daripada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika sesi latihan rasmi di Wisma FAM Kelana Jaya pada Khamis.
Tunku Ismail meluangkan masa kira-kira tiga puluh minit untuk menyaksikan sesi latihan skuad kebangsaan selain sempat bertemu dengan semua pemain yang berjaya membawa Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Skuad Harimau Malaya yang dalam sesi persiapan menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Thailand kelihatan teruja dengan beberapa pemain dilihat berkongsi pendapat dengan Tunku Ismail.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hadir menyaksikan sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya menjelang aksi separuh akhir Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bertemu Thailand.#harimaumalaya pic.twitter.com/h6qprXjy5C
— Flash Sukan (@FlashSukan) January 5, 2023
Sebelum itu Tunku Ismail turut menemui Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di pejabatnya sebelum meninjau sesi latihan sebagai persediaan menghadapi Thailand Sabtu ini.
TMJ juga dilihat meluangkan masa berbincang dengan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan untuk memberikan kata-kata semangat buat mereka menjelang aksi penting di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

TMJ turut bertemu dengan barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Meskipun dihujani kontroversi sebelum ini kerana tidak melepaskan pemainnya menyertai latihan pusat skuad kebangsaan, TMJ tetap bersikap profesional dengan meluangkan masa melawat sesi latihan.
Dalam pada itu, skuad negara dilihat sudah bersedia untuk menghadapi aksi separuh akhir ini dengan kesemua 59,000 tiket sudah habis dijual dan pastinya satu lagi perlawanan menarik bakal disajikan oleh para pemain.