PROSES tatatertib berhubung isu melibatkan keputusan perlawanan Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027 kini sedang berjalan selepas Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memulakan siasatan rasmi minggu lalu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John berkata proses berkenaan kini berada pada peringkat awal apabila jawatankuasa terbabit telah mengemukakan pertuduhan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, prosedur yang digunakan adalah sama seperti proses ‘show cause’ atau tunjuk sebab yang lazim diamalkan dalam siasatan disiplin badan bola sepak.

“Jawatankuasa Disiplin sudah memulakan proses mereka minggu lepas. Biasanya mereka akan mulakan dengan ‘charge’ iaitu menyatakan bahawa sesuatu kesalahan mungkin telah berlaku dan meminta pihak terlibat memberikan penjelasan.

“Selepas itu mereka akan beri tempoh masa tertentu, mungkin seminggu atau 10 hari, untuk pihak berkaitan memberikan jawapan,” katanya.

Windsor menjelaskan pada ketika ini AFC sedang menunggu maklum balas rasmi daripada FAM sebelum sebarang keputusan lanjut boleh dibuat.

Katanya, selepas menerima jawapan tersebut, Jawatankuasa Disiplin akan mengadakan mesyuarat bagi menilai semua fakta yang ada sebelum menentukan keputusan muktamad.

Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan akan meneliti pelbagai faktor termasuk jawapan daripada FAM serta faktor mitigasi yang mungkin dikemukakan dalam penjelasan mereka.

Selain itu, fakta berkaitan kes tersebut yang sudah tersedia daripada badan bola sepak antarabangsa seperti FIFA dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) juga akan dijadikan rujukan.

“Fail kes ini sebenarnya sudah lama berada di sekretariat disiplin. Jadi mereka akan menilai semua maklumat ini sebelum bermesyuarat dan membuat keputusan,” katanya.

Beliau berharap proses berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat memandangkan isu tersebut sudah berlarutan selama beberapa bulan.

“Kita harap tidak lama kerana kes ini bukan perkara baharu. Ia sudah lama dan semua pihak sudah mengetahui mengenainya,” katanya.