SKUAD Pahang Rangers merapati kedudukan Johor Darul Ta’zim dalam sainagan liga selepas menewaskan Sabah FA 7-5 di Shah Alam pada Ahad.
Aksi tunggal Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) hari ini disajikan dengan satu perlawanan panas apabila beberapa keputusan pengadil yang agak kontroversi sekaligus menyebabkan berlakunya perbalahan antara dua pasukan.
Sabah memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila menjaringkan gol awal menerusi pemain Syah Azman.
Skuad dari Borneo itu meneruskan kegarangan mereka apabila menambah satu lagi gol pada minit ke-10 menerusi Wan Raziq Wan Zulhasmi untuk mendahului 2-0.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Gerard Casas merencanakan serangan dan hasilnya mendapatkan tiga gol sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan Hamdin Zarif, Sirhan Aiman dan Felipe De Souza.
Bersambung selepas rehat, Pahang Rangers menaikkan tempo permainan mereka dan berjaya melebarkan kedudukan mereka hasil rembatan jarak jauh Murilo Saad untuk gol keempat Pahang Rangers.
Sabah merapati kedudukan semula selepas kapten pasukan, Akmal Hakimi Naim berjaya menjaringkan gol ketiga untuk Sabah.
Namun malang buat Sabah apabila Wan Raziq dilayangkan kad merah selepas bola mengenai tangannya ketika bola itu menuju ke gawang gol.
Pahang Rangers mengambil peluang ini untuk menambah jaringan gol kelima dan keenam menerusi Amirul Khairuddin dan Felipe De Souza.
Bagaimanapun Sabah sekali lagi menambah jaringan apabila Syah Azman menyumbat gol keempat untuk memberi sedikit sinar untuk pasukan mencari gol penyamaan.

Berlakunya ketegangan diantara kedua-dua pasukan di minit terakhir permainan
Keadaan menjadi tegang dalam 3 minit terakhir apabila berlakunya perselisihan faham antara kedua-dua pasukan sekaligus menyebabkan pemain Sabah, Akmal Hakimi Naim dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Felipe De Souza mengambil peluang ini untuk jaringkan hatrik untuk Pahang Rangers pada minit ke-37 sebelum Felipe Leite menjaringkan gol kelima buat Sabah pada saat terakhir perlawanan.