BINTANG jarak jauh Kenya, Beatrice Chebet mencuri perhatian di pentas Liga Berlian di Rabat apabila hampir memecahkan rekod dunia 3,000 meter wanita dengan catatan luar biasa 8:11.56s, hanya lima saat memisahkannya daripada rekod dunia berusia 31 tahun milik Wang Junxia (8:06.11).

“Saya sangat-sangat gembira. Saya tak berniat pun nak pecahkan rekod dunia. Saya cuma mahu catat rekod peribadi dan saya berjaya,” kata Chebet selepas perlumbaan. Aksinya menjadi sorotan utama kejohanan yang turut menyaksikan beberapa keputusan mengejut.

Antaranya termasuk kegagalan juara Olimpik Paris 2024, Letsile Tebogo, yang tewas dalam acara 100 meter dengan catatan mengecewakan 10.43s, sebelum menarik diri daripada acara 200m hanya 70 minit kemudian. Pelari sensasi Botswana itu menyasarkan kejuaraan berganda buat kali pertama, namun impian itu lebur seawal pusingan pertama.

Pelari Afrika Selatan, Akani Simbine membuktikan keunggulan apabila menjuarai 100m dengan masa 9.95s – kemenangan ketiga beliau dalam siri Liga Berlian musim ini. Sementara itu, pelari Amerika Syarikat, Courtney Lindsey mengambil peluang atas penarikan diri Tebogo untuk muncul juara 200m dengan catatan 20.04s.

Dalam acara wanita 100m, Shericka Jackson dari Jamaica menepati ramalan apabila bangkit dari permulaan perlahan untuk menamatkan larian dalam 11.04s, menewaskan Maia McCoy dan Jacious Sears dari Amerika Syarikat.

Rabat juga menjadi medan sambutan manis buat Tshepiso Masalela dari Botswana yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-26 dengan kemenangan bergaya dalam acara 800m lelaki – merekodkan masa 1:42.70s yang kini menjadi catatan terpantas dunia bagi musim ini.

Tidak ketinggalan, Femke Bol dari Belanda terus mendominasi acara 400m berpagar wanita, memadam rekod kejohanan dengan larian bertenaga 52.46s, menambah koleksi kejuaraannya musim ini.

Saingan di Rabat memperlihatkan betapa sengitnya persaingan dunia olahraga, di mana rekod mampu tercabar dan bintang-bintang besar juga boleh tersungkur.