Foto kredit: TFC
KEPULANGAN beberapa tonggak daripada skuad kebangsaan belum cukup melegakan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain untuk bertemu KL City FC Sabtu malam.
Sebaliknya Nafuzi mengakui percaturan TFC sedikit pincang selepas tiga pemain import dan sekurang-kurangnya tiga lagi pemain tempatan bergelut untuk berada pada tahap kecergasan terbaik.
Antaranya Manuel Ott, Kpah Sherman dan Petrus Shitembi yang bersama pasukan kebangsaan masing-masing selain pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang beraksi pada kempen Piala AFC B-23, awal bulan ini.
“Tiga pemain import itu mengharungi penerbangan lebih 30 jam daripada Mongolia, Maghribi dan Afrika Selatan. Mereka baru tiba hari ini (semalam) dan belum menyertai sesi latihan.
“Pemain B-23 negara pula ada yang tercedera antaranya Mohd Syafik Ismail dan Hairiey Hakim Mamat.
“Saya akan menilai prestasi pemain dalam masa yang ada bagi menurunkan kesebelasan terbaik bertemu juara Piala Malaysia 2021 itu,” jelasnya yang ditemui pada sesi latihan pada Jumaat
Tambah Nafuzi lagi, dia menjangkakan aksi yang sukar berhadapan anak-anak buah Bojan Hodak yang disifatkannya serba lengkap di semua posisi selain turun selaku pasukan bertaraf Piala AFC.
“Mereka cukup berdisiplin di bawah kendalian Hodak dibantu keampuhan pertahanan dan ketajaman jentera serangan yang diketuai Romel Morales dan Kevin Koubemba,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, pemain TFC, Mohd Faiz Nasir, bersedia untuk merebut tempat dalam senarai pemain di bangku simpanan selepas kembali cergas daripada masalah kesihatan, April lalu.
Katanya, dia bertekad untuk memberikan aksi terbaik jika diberi kepercayaan oleh Nafuzi untuk berada di kesebelasan utama bertemu KL City FC di depan penyokong sendiri.
“Walaupun sudah mendapat minit permainan bersama TFC II dalam Liga Perdana, aksi Sabtu ini pastinya lebih mencabar kerana saya belum serasi dengan pemain import TFC,” ujarnya.