MALAYSIAN Football League (MFL) mahu menggunakan lapan perlawanan ujian pra musim sebagai medan untuk menguji keberkesanan dan mengatasi segala masalah yang mungkin berlaku kepada teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam yang menjelaskan pihaknya berharap agar dapat mengatasi segala masalah yang mungkin dihadapi ketika perlawanan ujian ini bagi memastikan ianya lancar ketika aksi liga.
“Jangkaan kami adalah untuk menghadapi masalah kerana kami harap kita dapat hadapi sebagai sebuah unit.
Kerjasama pasukan dan produksi serta krew teknologi VAR akan dapat menghadapi apa jua kekangan yang kita hadapi dalam ujian ini.
“Kita tahu ianya tidak akan lancar kerana kita dapat lihat dari review VAR ianya mengambil sedikit masa dan juga dari segi infrasruktur di beberapa negeri serta segala masalah yang perlu diharungi untuk satu musim.
“Kami harap dapat menerima seberapa banyak masalah yang mungkin jadi kami boleh bersedia apabila dengan jalan penyelesaian yang sesuai,” katanya ketika perlawanan simulasi VAR di Stadium UiTM Shah Alam.
Stuart juga menjelaskan setakat ini tiga perlawanan sahaja yang boleh dilangsungkan dan dia juga mendedahkan kos operasi yang dibelanjakan MFL untuk membawa teknologi ini ke Liga Malaysia.
“Tiga perlawanan maksimum boleh dilangsungkan pada satu-satu hari dengan empat unit Mobile VAR kerana kami perlu mempunyai satu unit simpanan dan kami telah membelanjakan RM5 hingga 6 juta ringgit yang termasuk kos operasi berjumlah RM3.2 dan 3.4 juta termasuk kos-kos pengadil,” jelasnya.
Liga Malaysia akan mula menggunakan VAR bermula musim ini dengan harapan dapat mengurangkan kesilapan keputusan dari pengadil dan ianya menjadi tarikan terbaharu buat para penyokong.