KETUA Jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain memilih pendekatan berhemah tetapi tetap berani menjelang aksi penentu menentang Vietnam pada Sukan SEA 2025 esok, sambil mengingatkan pemainnya bahawa keseimbangan adalah kunci jika mahu mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Nafuzi mengakui beberapa perubahan taktikal mungkin berlaku bergantung kepada karakter permainan Vietnam yang terkenal agresif dan laju.

Menurutnya, Malaysia perlu cermat dalam memastikan transisi serangan dan bertahan berjalan serentak tanpa terlalu terikut-ikut rentak lawan.

“Kita tahu kekuatan Vietnam. Kita cuba seimbangkan dari segi serangan dan bertahan kerana kita tidak boleh tewas kalau mahu ke separuh akhir,” katanya.

Walaupun keputusan seri sudah cukup untuk memastikan Malaysia muncul juara kumpulan, Nafuzi menolak pendekatan terlalu bertahan kerana mahu pemain terus memburu kemenangan.

“Kita bermain untuk menang… tetapi yang penting kita tidak tewas. Jadi kita tak boleh terlalu gairah menyerang,” tegasnya.

Beliau menekankan disiplin sebagai unsur utama, terutama apabila Vietnam dijangka datang dengan intensiti 100 peratus untuk memburu tiga mata. Justeru, fokus penuh dan persediaan mental menjadi keutamaan bagi memastikan anak buahnya tidak hilang kawalan perlawanan.

Aksi esok bukan sekadar penentu kedudukan kumpulan, tetapi peluang Malaysia B-23 menunjukkan kematangan taktikal di bawah tekanan tinggi sesuatu yang menjadi penanda arah perjalanan pasukan menuju peringkat lebih besar.