Kredit Gambar: MSN Malaysia
KEJAYAAN Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Selangor 2026 bukan sahaja menyaksikan kemunculan juara baharu, malah menjadi medan penting dalam mengenal pasti kelompok atlet yang berpotensi membawa cabaran Malaysia pada temasya Sukan SEA 2027.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan seramai 132 atlet, terdiri daripada 59 lelaki dan 73 wanita, telah dikenal pasti untuk dipertimbangkan dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari, penilaian awal sepanjang temasya SUKMA Selangor 2026 mendapati atlet berkenaan mempunyai potensi untuk dikembangkan ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata prestasi mereka akan terus dipantau berdasarkan beberapa aspek termasuk pencapaian semasa, konsistensi, kecergasan, tahap kecederaan serta prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain mengambil kira keperluan bagi setiap acara.
SUKMA Selangor yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu turut mencatat 37 rekod baharu, dengan 14 daripadanya berjaya dilakukan atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN), merangkumi enam rekod olahraga, tiga rekod memanah dan lima rekod renang.
Antara pencapaian paling menyerlah hadir daripada atlet renang Selangor, Eliza Tan Ai Shen, yang memperbaharui rekod kebangsaan acara 100 meter gaya bebas wanita sebanyak dua kali, termasuk pada peringkat saringan dan final. Dalam final, beliau mencatat masa 56.78 saat untuk meraih pingat emas.
Turut mencuri perhatian ialah kuartet Terengganu dalam acara 4x100m wanita yang dianggotai Nur Aieris Madhiah, Dahlia Hazwani, Ameera Alya dan Nur Aierin Wadhiah. Mereka mencipta rekod kebangsaan baharu dengan catatan 4 minit 42.878 saat.
Dalam perkembangan sama, program pembangunan atlet MSN turut menunjukkan hasil positif apabila 372 atlet daripada Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa menyumbang keseluruhan 373 pingat, terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.
Antara atlet program MSN yang menonjol ialah perenang Program Pelapis, Shannon Yan-Qing Tan yang meraih enam emas, manakala atlet Program Podium, Muhammad Dhuha pula mengumpul lima emas. Elvis Priestly Clement, Nur Elisha Rania, Adania Redzwan, Cadence The Zi Qi dan Danish Iftikhar turut mempamerkan prestasi membanggakan.
KBS berkata pencapaian itu membuktikan kesinambungan pembangunan atlet daripada peringkat pengenalpastian bakat, program pelapis sehingga ke kelompok berprestasi tinggi terus menghasilkan impak positif.
Pada masa sama, seramai 1,975 atlet yang dikenal pasti menerusi Program Bakat, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas MSN mengambil bahagian di SUKMA kali ini, dengan 538 daripadanya berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri masing-masing.
KBS dan MSN kini akan menggunakan SUKMA sebagai antara platform penting untuk memperkemas persediaan ke arah Sukan SEA 2027, termasuk dari aspek pembangunan bakat, penyertaan atlet muda, standard pertandingan, pembangunan jurulatih, penggunaan data prestasi serta sains sukan.
KBS turut menegaskan usaha memperkasakan SUKMA akan diteruskan bagi memastikan temasya itu kekal menjadi medan melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
SUKMA Selangor 2026 menyaksikan Selangor muncul juara keseluruhan dengan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan di tempat kedua dan Terengganu di kedudukan ketiga.