KETUA jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu barisan pemain negara melupakan seketika kelebihan dan rekod hebat Vietnam untuk turun dengan keyakinan tinggi dalam aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN Hyundai 2026 di Stadium My Dinh, Hanoi, malam esok.
Malaysia berdepan misi sukar selepas tewas 0-2 kepada Vietnam pada perlawanan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sekali gus memerlukan kemenangan dengan sekurang-kurangnya tiga gol tanpa bolos untuk mengesahkan kemaraan ke final.
Vietnam pula hadir dengan kelebihan dua gol serta rekod 24 perlawanan tanpa kalah di bawah kendalian Kim Sang-sik, menjadikan tugas Harimau Malaya semakin mencabar di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.
Namun, Cheng Hoe percaya rekod berkenaan tidak seharusnya menjadi beban kepada pemainnya, sebaliknya mereka perlu menjadikan cabaran itu sebagai motivasi untuk memberikan aksi terbaik.
“Dalam bola sepak, kadang kala kita kena turun dengan keyakinan bahawa kita mampu mengubah keputusan. Namun, kami tetap menghormati skuad kebangsaan Vietnam.
“Ini kerana mereka mempunyai rekod yang sangat baik di bawah kendalian Kim Sang-sik yang belum tewas dalam lebih 20 perlawanan. Jadi, dengan semua statistik dan rekod itu, kami tetap perlu bermotivasi dan memiliki keyakinan,” katanya pada sidang media.
Cheng Hoe turut mengakui sokongan penyokong Vietnam yang dijangka memenuhi Stadium My Dinh boleh memberikan tekanan tambahan, namun beliau mahu pemain negara kekal fokus terhadap perancangan yang sudah disusun.
“Walaupun kami tahu esok stadium bakal dipenuhi penyokong yang akan memberikan sokongan kepada pasukan Vietnam, kami akan memberi aksi yang terbaik, membuat persiapan dan menganalisa permainan kami.
“Pada masa sama, saya rasa kami tidak terlalu tertekan dengan situasi ini,” katanya.
Dalam usaha mencipta kebangkitan, sejarah 2014 menjadi antara sumber inspirasi utama buat Harimau Malaya. Pada ketika itu, skuad kendalian Allahyarham Datuk Dollah Salleh bangkit daripada kekalahan 1-2 di laman sendiri sebelum menewaskan Vietnam 4-2 di Hanoi untuk mara ke final.
Cheng Hoe melihat pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa kebangkitan di bumi Vietnam bukan sesuatu yang mustahil, malah keputusan berkenaan mampu memberikan suntikan keyakinan kepada pemainnya menjelang pertembungan kali ini.
“Pada 2014 di bawah kendalian jurulatih ketika itu (Dollah), beliau melakukan sesuatu yang hebat untuk mengubah keadaan.
“Ketika itu, Malaysia ketinggalan 1-2 sebelum datang ke sini dan menang 4-2. Itu keputusan yang sangat baik dan sudah tentu memberikan keyakinan kepada kami.
“Kami mahu mencipta sejarah seperti itu. Saya rasa pemain juga sedar mengenai situasi terbabit dan ia sesuatu yang boleh menaikkan semangat pasukan,” katanya.
Aksi separuh akhir kedua antara Vietnam dan Malaysia akan berlangsung di Stadium My Dinh pada 19 Ogos 2026, dengan sepak mula dijadualkan pada 9 malam waktu Malaysia.