Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata selepas Malaysian Football League (MFL) memutuskan Kuala Lumpur City FC (KL City) gagal memenuhi syarat untuk beraksi dalam perlawanan pembukaan Unifi Liga Super 2026/27.
Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas meneliti dokumen, laporan serta maklumat berkaitan perlawanan antara kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 22 Ogos lalu.
Perlawanan berkenaan tidak dapat dilangsungkan selepas KL City memaklumkan kepada MFL pada jam 12.40 tengah hari hari perlawanan mengenai masalah kesihatan membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti influenza.
Bagaimanapun, hasil penelitian lanjut mendapati KL City gagal menguruskan pendaftaran pemain lebih awal sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan skuad lengkap untuk diturunkan menentang Negeri Sembilan FC.
Semakan MFL menerusi sistem MyPAS pada 22 Ogos mendapati KL City ketika itu hanya mempunyai 12 pemain yang didaftarkan, terdiri daripada 11 pemain dan seorang penjaga gol.
Situasi itu didapati melanggar peraturan pendaftaran Liga Malaysia 2026/27 yang menetapkan setiap kelab perlu mempunyai sekurang-kurangnya 15 pemain termasuk minimum dua penjaga gol dalam senarai pasukan. MFL turut menetapkan semua kelab mendaftarkan minimum 20 pemain termasuk tiga penjaga gol sebelum perlawanan pertama musim.
KL City juga didapati tidak mematuhi peraturan berkaitan senarai pemilihan pasukan yang menetapkan kelab perlu melengkapkan senarai dengan 20 pemain serta 10 pegawai di bangku simpanan.
MFL turut memaklumkan bahawa Unit Pelesenan Kelab dan First Instance Body (FIB) sebelum ini telah beberapa kali mengingatkan KL City supaya menyelesaikan denda yang dikenakan FIFA sehingga menyebabkan kelab itu menerima Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa. Kegagalan menyelesaikan perkara tersebut akhirnya memberi kesan kepada proses pendaftaran pemain mereka bagi musim ini.
Susulan itu, MFL memutuskan Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 serta tiga mata, manakala KL City dikenakan denda RM50,000 selain perlu menanggung segala ganti rugi dan kos berkaitan yang ditentukan MFL.
Dalam perkembangan sama, permohonan KL City untuk menangguhkan aksi menentang Kuching City FC pada 26 Ogos di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras turut ditolak. Perlawanan kekal mengikut jadual dan sekiranya KL City gagal beraksi, Kuching City akan diberikan kemenangan 3-0 serta tiga mata, selain KL City berdepan denda RM50,000.
MFL menegaskan setiap kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia bertanggungjawab mematuhi sepenuhnya peraturan pertandingan serta arahan rasmi badan pengelola bagi memastikan kelancaran dan integriti saingan terus terpelihara.
