Foto: TFC

TERENGGANU FC optimis mampu membaiki kedudukan dalam Liga Super selepas hanya meraih lima kemenangan daripada 11 perlawanan untuk menghuni tempat kelapan ketika ini.

Menurut ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain, perjalanan masih panjang buat Sang Penyu mengharungi baki perlawanan sambil menjadikan aksi bertemu PJ City malam esok sebagai misi wajib menang.

Katanya, Terengganu FC tidak boleh terus keciciran mata selepas tumpas 1-2 kepada Sabah dan Negeri Sembilan dalam dua pertemuan terakhir sebelum ini di tempat lawan.

“Kekalahan itu hanya merugikan pasukan yang kehilangan enam mata dan kami perlu kembali ke landasan kemenangan untuk bersaing dengan pasukan kelompok atasan.

“Kami tewas 0-3 kepada PJ City dalam aksi pembuka tirai, April lalu dan tidak mahu mengalami nasib sama kali ini di depan penyokong sendiri atau terus ketinggalan dengan pencabar lain.

“Masih berbaki 11 perlawanan lagi untuk Terengganu ‘kejar’ pasukan di atas namun ianya terpulang kepada pemain untuk merealisasikan misi kemenangan,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya lima pemain bergelut dengan masalah kesihatan dan kecederaan antaranya Kpah Sherman, Habib Haroon, Mohd. Faiz Nasir, Zueasyraf Zulkiefle dan Azalinullah Alias.

Nafuzi berkata, Terengganu FC bakal turun dengan misi menebus kekalahan kepada skuad The Phoenix selain kembali ke landasan kemenangan sebelum aksi separuh akhir Piala FA, 6 Ogos ini.

“Bagaimanapun apa yang penting tumpuan harus diberikan untuk saingan liga terlebih dahulu sebelum memikirkan pertemuan dengan Selangor FC,” tegasnya lagi.