PASUKAN Negeri Sembilan FC mencipta kebangkitan dramatik untuk menewaskan Sri Pahang FC 2-1 dalam aksi Liga Super Malaysia 2024/2025 yang berlangsung di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Jumaat malam.

Kemenangan penting ini bukan sahaja menamatkan kemarau kemenangan pasukan bimbingan K. Nantakumar, malah membantu Negeri Sembilan melonjak keluar dari tangga tercorot ke kedudukan ke-12 dengan 9 mata selepas 16 perlawanan.

Sri Pahang, yang hadir dengan formasi 3-4-3 dan misi mencuri tiga mata, membuka jaringan awal menerusi kesilapan pertahanan import Negeri Sembilan, Aliyu Abubakar.

Tandukannya ke gawang sendiri pada minit ke-7 selepas hantaran lintang Kpah Sherman menghadiahkan gol pendahuluan kepada skuad Tok Gajah.

Walau bagaimanapun, Negeri Sembilan tidak patah semangat. Mereka bangkit mencari gol penyamaan dan akhirnya berjaya merealisasikan misi tersebut pada minit ke-44.

Sepakan penjuru Takumi Sasaki mencetuskan kekacauan di kawasan pertahanan Sri Pahang sebelum disudahkan oleh pemain import Myanmar, Hein Htet Aung. Kedudukan terikat 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama, menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing sengit di tengah padang.

Separuh masa kedua menyaksikan Negeri Sembilan lebih dominan dalam serangan walaupun perlawanan dilihat seimbang dari segi kawalan permainan. Usaha gigih tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-58 apabila Anbualagan Selvan menjaringkan gol kemenangan hasil serangan balas pantas.

Gerakan ini dimulakan oleh hantaran cantik Jacque Faye yang membuka ruang untuk Anbualagan menyempurnakan peluang keemasan.

Sri Pahang berusaha keras untuk mencari gol penyamaan, namun ketumpulan di bahagian serangan dan disiplin pertahanan Negeri Sembilan menggagalkan usaha mereka. Walaupun menyerang habis-habisan dalam masa tambahan empat minit, skuad Tok Gajah akhirnya terpaksa akur pulang dengan tangan kosong.

Dengan kemenangan ini, Negeri Sembilan kini bersedia untuk menentang Sabah pada 25 Januari di laman sendiri. Sementara itu, Sri Pahang perlu merancang strategi baharu untuk kembali ke landasan kemenangan dalam baki perlawanan liga.

FOTO : Sri Pahang FC