PEMAIN naturlisasi, Liridon Krasniqi secara rasminya bersama pasukan Terengganu FC bagi musim 2023 selepas menandatangani kontrak sebagai pemain pinjaman dari kelab Johor Darul Ta’zim dengan kontrak satu tahun.

Liridon Krasniqi, sebelum ini beraksi dengan skuad Khon Kaen United FC pada musim 2022 secara pinjaman akan mengisi slot sebagai pemain tempatan untuk pasukan Terengganu FC pada musim ini.

Menurut kenyataan yang dimuatnaik Facebook rasmi kelab, Krasniqi bakal memberi komitmen yang penuh bersama pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner bagi memastikan dapat membantu pasukan itu dalam memburu kejuaraan di saingan Liga Malaysia dan Piala AFC.

“Beliau yang bakal memakai jersi bernombor 80 bakal memberikan lebih pilihan di bahagian tengah pasukan ini.

“Pemain yang berasal dari Kosovo ini juga ingin memastikan kehadiran beliau berbaloi dan dapat memikat hati para penyokong Terengganu FC,” kata kenyaatan itu.

Liridon dijangka bakal berada dalam skuad Terengganu FC dalam perlawanan persahabatan menentang Odense Blodklub FC pada Ahad.