Kapten Bayern Munich, Manuel Neuer mengakui pasukannya gagal memanfaatkan peluang yang dimiliki ketika tersingkir di tangan Paris Saint-Germain pada separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA awal pagi tadi.
PSG mengesahkan kemaraan ke final selepas seri 1-1 pada aksi kedua di Allianz Arena, sekali gus mara dengan agregat 6-5 untuk menempah pertemuan menentang Arsenal pada final 30 Mei ini.
Walaupun Bayern mencipta beberapa peluang sepanjang perlawanan, juara Jerman itu dilihat bergelut menembusi pertahanan tersusun PSG sebelum Harry Kane menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.
“Kami tidak mempunyai banyak peluang besar, tetapi masih cukup untuk menjaringkan gol.
“Kami tidak memiliki mentaliti pembunuh seperti PSG untuk menyempurnakan peluang yang ada,” kata Neuer.
Menurut penjaga gol berpengalaman itu, Bayern sebenarnya hampir untuk kembali ke final namun gagal memanfaatkan detik penting dalam perlawanan.
“Kami sudah hampir ke final tetapi gagal melangkah lebih jauh. Gol kami hadir terlalu lewat,” katanya lagi.
Jaringan Kane pada minit-minit akhir bagaimanapun tidak cukup untuk mengheret permainan ke masa tambahan apabila Bayern kesuntukan masa bagi memburu gol kedua.
Neuer turut mengakui pasukannya tidak sempat mencipta peluang tambahan selepas jaringan tersebut kerana masa yang terlalu singkat berbaki.
Kekalahan itu menyaksikan Bayern sekali lagi gagal kembali ke final Liga Juara-Juara sejak kali terakhir menjulang trofi pada 2020 selepas menewaskan PSG.
Bagaimanapun, skuad kendalian Vincent Kompany masih berpeluang menutup musim dengan pencapaian positif selepas menjuarai Bundesliga dan turut mara ke final Piala Jerman.
Sumber Gambar: FB Bayern Munich