Paris Saint-Germain’s Spanish head coach Luis Enrique celebrates after the UEFA Champions League second-leg, semi-final football match between FC Bayern Munich and Paris Saint-Germain (PSG) in Munich, southern Germany on May 6, 2026. (Photo by FRANCK FIFE / AFP)

Paris Saint-Germain (PSG) sekali lagi membuktikan status mereka sebagai antara pasukan paling lengkap di Eropah musim ini selepas menyingkirkan Bayern Munich untuk mara ke final Liga Juara-Juara buat dua musim berturut-turut.

Skuad kendalian Luis Enrique mengesahkan kemaraan ke final menerusi agregat 6-5 selepas seri 1-1 pada aksi separuh akhir kedua di Allianz Arena, Munich awal pagi tadi.

Berbekalkan kemenangan dramatik 5-4 pada aksi pertama di Paris, PSG tampil lebih berdisiplin di Munich dengan memberi fokus kepada kestabilan permainan serta organisasi bertahan.

Ousmane Dembele meletakkan juara Perancis itu di depan seawal minit ketiga sebelum PSG bertahan dengan cukup baik bagi mengekang tekanan berterusan tuan rumah.

Bayern berjaya menyamakan kedudukan menerusi Harry Kane pada masa kecederaan, namun jaringan itu gagal mengubah nasib kelab Jerman berkenaan yang tersingkir dengan agregat tipis.

Luis Enrique menyifatkan aksi di Munich sebagai gambaran sebenar karakter PSG musim ini yang bukan sahaja kuat ketika menyerang, malah mampu bertahan di bawah tekanan tinggi.

Menurutnya, kematangan dipamerkan pemain menjadi faktor utama kejayaan mereka menempah tempat ke final sekali lagi.

Pemain muda PSG, Desire Doue turut memuji semangat juang pasukan yang sanggup bekerja keras bertahan sepanjang perlawanan demi mempertahankan kelebihan agregat.

Antara pemain paling menyerlah ialah pertahanan tengah, Willian Pacho yang tampil cemerlang mengemudi benteng PSG, manakala Warren Zaire-Emery turut mempamerkan aksi meyakinkan di posisi bek kanan bagi menggantikan Achraf Hakimi yang mengalami kecederaan.

PSG kini bakal membuat perhitungan dengan Arsenal pada final di Budapest, 30 Mei ini.

Kejayaan itu turut menjadikan PSG pasukan pertama sejak Liverpool pada 2019 mara ke final Liga Juara-Juara dalam dua musim berturut-turut.

Malah, kemenangan di final nanti akan meletakkan PSG sebaris dengan Real Madrid sebagai pasukan yang berjaya mempertahankan kejuaraan dalam era moden Liga Juara-Juara.