SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John menegaskan bahawa bola sepak Asia kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai kuasa besar dunia, hasil pelaburan, visi, dan perpaduan yang semakin kukuh. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di World Football Summit di Hong Kong hari ini, kali kedua beliau berucap selepas penampilan sulung di Jeddah pada 2023.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran Piala Asia Qatar 2023 menjadi bukti keupayaan Asia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia dengan stadium moden, gol-gol hebat, serta sokongan penyokong yang luar biasa. “Ia kekal sebagai permata mahkota bola sepak Asia,” kata Windsor, sambil menambah bahawa kejayaan itu memberi motivasi untuk edisi-edisi akan datang.
Dalam masa yang sama, Piala Asia 2027 di Arab Saudi bakal menjadi edisi bersejarah kerana buat julung kalinya negara itu menjadi tuan rumah. Windsor menegaskan Arab Saudi kini muncul sebagai kuasa dinamik bola sepak dunia dengan kehadiran kelab-kelab ternama, penyertaan pemain berprofil tinggi, serta sokongan kerajaan yang komited terhadap sukan. “Kami yakin Arab Saudi akan menetapkan penanda aras baharu dari segi penganjuran, pengalaman peminat dan impak legasi,” katanya.
Menyentuh aspek kelab, Windsor berkata pelancaran musim pertama AFC Champions League Elite™ telah membuka lembaran baharu bola sepak kelab Asia. Format baharu yang melibatkan 24 kelab terbaik benua itu berjaya mencatat kehadiran tinggi di stadium dan capaian siaran rekod. Beliau juga menegaskan bahawa ekosistem tiga peringkat – ACL Elite, ACL Two, dan Challenge League – diwujudkan untuk membuka laluan lebih luas kepada kelab dari pelbagai negara.

Datuk Seri Windsor John mengadakan pertukaran cenderamata sebagai simbol persahabatan dan kerjasama dalam arena bola sepak antarabangsa di World Football Summit 2025 Hong Kong.
Beliau menambah, kelab dan pengadil Asia kini semakin mencipta nama di pentas dunia, termasuk penampilan Al Hilal di Piala Dunia Kelab FIFA serta pengadil Asia yang diberi kepercayaan mengadili final. Dengan sekurang-kurangnya lapan pasukan Asia bakal beraksi di Piala Dunia FIFA 2026, beliau percaya ia akan membuka ruang lebih besar untuk pasukan Asia membina identiti global dan bersaing di peringkat tertinggi.
Mengakhiri ucapannya, Windsor menegaskan bahawa kebangkitan Asia bukan retorik semata-mata, tetapi realiti hasil visi, pelaburan, dan kesatuan semua pihak. “Kita bukan sahaja menganjurkan kejohanan, kita menetapkan penanda aras baharu. Kita bukan sekadar membangunkan bola sepak, kita sedang mendefinisikan semula masa depannya. Inilah bab baharu bola sepak – berani, inklusif, dan jelas beridentitikan Asia,” katanya.
Datuk Seri Windsor John memberi ucapannya di World Football Summit Hong Kong 2025 dan turut dihadiri oleh legenda dan tokoh bola sepak dunia termasuk Fabio Capello, Pierluigi Collina, Rio Ferdinand, Carles Puyol, Javier Zanetti serta Presiden LaLiga, Javier Tebas.