Oleh: MOHD HILMI dan AINA MOHAMAD
“SAYA tidak pernah terfikir akan menerima anugerah ini!!!.”
Ringkas jawapan daripada Olahragawati Kebangsaan, Ng Joe Ee dari sukan gimrama, selepas menerima pengiktirafan pada malam kemuncak Anugerah Sukan Kebangsaan 2022, Isnin malam.
Joe Ee bakal mencecah usia 18 tahun Disember ini, dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan berdasarkan pencapaiannya memenangi dua pingat emas di temasya Sukan Komanwel ke-22 tahun lalu, di Biirmingham, United Kingdom.
Anak gadis kelahiran Kuala Lumpur itu muncul satu-satunya atlet dari kontinjen negara, memenangi lebih daripada satu pingat emas pada temasya terbabit, selepas meraih pingat emas aparatus individu Bola dan Riben.

Ng Joe Ee gugup naik ke pentas, terima anugerah.
“Saya terlalu gembira dengan pengiktirafan ini, tetapi ini benar-benar satu kejutan buat saya,” katanya sambil tertawa.
Anugerah tertinggi itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada majlis penuh gilang gemilang di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya.
Menurut Joe Ee, pengiktirafan itu menyemarakkan lagi semangatnya untuk mempamerkan aksi lebih baik di Sukan Asia Hangzhou 2022, apabila namanya turut tersenarai ke temasya terbabit buat kali pertama.
Dalam pada itu, kejayaan muncul rakyat Malaysia pertama muncul juara dunia badminton, tahun lalu, membuka jalan buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan 2022.

Persiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mewakili Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menerima anugerah Olahragawan Kebangsaan 2022.
Pencapaian tertinggi dicapainya pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Tokyo, Ogos tahun lalu itu, ternyata membawa rezeki tanpa putus buat Aaron dan Wooi Yik.
“Saya rasa anugerah ini memang memotivasikan, membuatkan saya mahu berusaha lebih gigih untuk mengharumkan nama negara kita.
“Rasa nak banggakan lagi Malaysia, saya akan lebih rajin untuk buktikan banyak-banyak kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Aaron, yang kini berada di Korea Selatan, bagi menghadapi saingan kejohanan Terbuka Korea.

Kejayaan muncul juara dunia di Kejohanan Dunia berlangsung di Tokyo, Ogos tahun lalu, menjulang nama Aaron-Wooi Yik.
Meskipun tidak hadir pada Majlis ASN 2022, pengiktirafan itu membuatkan Aaron dan Wooi Yik berasa rendah diri atas pengiktirafan itu.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak, terutamanya merka yang banyak membantu kami baik Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Badminton Malaysia… terutamanya presiden kita, Tan Sri Norza (Zakaria) yang sentiasa memberi sokongan dan tidak jemu bertanya khabar menerusi mesej di WhatsApp.”
Senarai Pemenang Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022
OLAHRAGAWAN KEBANGSAAN
Aaron Chia & Soh Wooi Yik (badminton)
OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN
Ng Joe Ee (Gimrama)
OLAHRAGAWAN PARALIMPIK KEBANGSAAN
Cheah Liek Hou (Para Badminton)
OLAHRAGAWATI PARALIMPIK KEBANGSAAN
Carmen Lim (Para Renang)
PASUKAN LELAKI KEBANGSAAN
Pasukan Hoki Lelaki
PASUKAN WANITA KEBANGSAAN
Pearly Tan-M. Thinaah (Badminton)
JURULATIH LELAKI KEBANGSAAN
A.Arulselvaraj (Hoki)
JURULATIH WANITA KEBANGSAAN
Beh Lee Wei (Ping Pong)
TOKOH SUKAN KEBANGSAAN
Datuk Mazlan Ahmad
KEPIMPINAN SUKAN
Profesor Datuk Dr. Abdullah Mohammad Said
ANUGERAH KHAS
Desmond David & Ann Marie David
Datuk Fauzi Omar
Ahmad Merican Othman
Soh Wai Ching