PERSEORANGAN pertama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Ng Tze Yong sah tidak akan beraksi di Korea Masters, selepas kekalahan mengejut diterima pemain itu di Terbuka Hylo, di Jerman.
Belum cukup kuat mental dan fikiran dan ia menyerlah ketika tewas kepada pemain dari Republik Czech, Jan Louda di Terbuka Hylo, Jerman, semalam, hingga meleburkan harapan untuk pemain itu melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung di Hangzhou, China pada 13 hingga 17 Disember.
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata, atas faktor itulah juga Tze Yong disahkan menarik diri dari menyertai Kejohanan Korea Masters yang dijadual bermula Selasa ini.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky sahkan, Ng Tze Yong tarik diri daripada Korea Masters minggu hadapan.
Kekalahan 10-21, 7-21 kepada Jan Louda dalam tempoh 29 minit pula memperlihatkan faktor kepenatan fizikal selepas menyertai empat hingga lima kejohanan berturut-turut bermula dari Sukan Asia.
“Saya sudah bincang dengan hendrawan semalam, sememangnya ada kebimbangan untuk membenarkan Tze Yong beraksi di Hylo, namun Hendrawan mahu mencuba nasib.
“Jika dapat juara, ada peluang untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir.
“Jelajah Dunia Akhir itu penting kerana menawarkan banyak mata dan boleh membantu Tze Yong mendapatkan kedudukan selesa untuk layak ke Olimpik Paris,” kata Rexy.

Ng Tze Yong belum cukup kuat mental.
Begitupun, beliau sudah melihat turun naik prestasi Tze Yong sejak muncul naib juara Terbuka Arctic, “Ada positifnya dia tewas awal di Denmark kerana ada cukup masa untuk persiapan ke Terbuka Perancis apabila layak ke separuh akhir sebelum tewas kepada Li Shifeng.
“Menentang Li Shifeng, bermain kelajuan dan Tze Yong tidak kalah cuma dia tidak cukup kental mental. Apabila pukulan yang dia mahu lakukan tidak menjadi.”
Tambah Rexy, akibat mental tidak cukup kuat, dapat dilihat banyak kesilapan dilakukan Tze Yong pada Terbuka Hylo.
Mengulas mengenai keputusan menarik diri daripada Korea Masters, Rexy berkata, keputusan itu adalah saranan daripada Hendrawan.

Kedudukan semasa ranking Jelajah Dunia Perseorangan Lelaki. Hanya lapan pemain teratas layak ke Jelajah Dunia Akhir dan satu slot khas buat juara dunia, iaitu Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.
“Hendrawan beritahu mahu menarik diri daripada Korea Masters dan India, hanya mahu bermain di Kumamoto Masters Jepun dan China Masters di Shenzhen.
“Tetapi saya jelaskan keputusan mengenai penyertaan di Jepun hanya akan diputuskan sebaik Tze Yong tiba di tanah air, kita lihat dahulu prestasi dan masa rehatnya.”
Justeru, Tze Yong sudah sah tidak akan beraksi di Korea Masters yang dijadual berlangsung 7 hingga 12 November.
Namun belum dipastikan lagi akan beraksi di Kumamoto Masters Jepun (14-19 November).

Jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan merancang Ng Tze Yong hanya akan mengambil bahagian di Japan Masters dan China Masters, namun Rexy mahu melihat perkembangan terakhir Tze Yong.
Setakat ini, pengarah kejurulatihan itu mengesahkan bahawa Tze Yong akan beraksi di China Masters yang akan berlangsung di Shenzhen, China pada 21 hingga 26 November.
Berdasarkan ranking Jelajah Dunia semasa, Tze Yong berada di kedudukan kelapan dengan 73,180 mata, ketinggalan 2,070 mata di belakang Viktor Axelsen dari Denmark di kedudukan ketujuh.
Namun kejohanan yang mengumpul lapan pemain terbaik ranking Jelajah Dunia itu akan memberi satu slot kepada juara dunia iaitu Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang berada di belakang Tze Yong ketika ini, sekali gus menyulitkan peluang pemain negara itu.