PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil bagai kehilangan kata-kata dalam sidang media apabila pasukan kendaliannya sekali lagi tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), kali ini dalam saingan Liga Super 2024-2025.

Selangor yang dibelenggu masalah kecederaan pemain tewas mudah 0-3 kepada Harimau Selatan namun berjaya mengelak kekalahan yang lebih besar seperti yang berlaku ketika perlawanan akhir Piala FA, Ogos lalu.

Nidzam ternyata kecewa dan tidak gembira dengan kekalahan ini dan melihat peluang pasukannya untuk mencabar kejuaraan liga dari JDT semakin sukar apabila kini sudah ketinggalan lapan mata tatkala pusingan kedua baru sahaja bermula.

Nidzam Jamil kecewa dengan keputusan perlawanan

“Ini adalah keputusan yang tidak baik di laman sendiri dan banyak perkara perlu diperbaiki. Setiap tahun kami mahu mengecilkan jurang dengan JDT meskipun kita sedar ianya bukan mudah.

“Kita tidak gembira dengan kekalahan ini dan kami akan ‘bounce back’ selepas ini. Kami mempunyai ramai pemain yang tercedera namun ada sedikit berita baik apabila ada pemain yang sudah kembali dalam pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Meskipun tewas, Nidzam tidak pernah mempertikaikan komitmen yang ditunjukkan para pemainnya dan kini akan menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya menentang Kedah Darul Aman FC dan Jeonbuk Hyundai Motors.

Selangor masih tanpa kemenangan dalam Liga Super sejak September

“Dari segi komitmen, saya tidak pernah pertikaikan pemain saya. Kami akan kembali berlatih untuk menghadapi dua perlawanan selepas ini dalam liga dan juga ACL2,” jelasnya.

Kekalahan ini menyaksikan Selangor semakin ketinggalan dalam saingan liga namun masih di tangga kedua dengan 26 mata selepas berakhir 13 perlawanan dengan lapan kemenangan, dua seri dan tiga kalah.