MANCHESTER United dilaporkan telah meminta bantuan daripada saingan sengit mereka, Manchester City, untuk menghantar dua pemain muda mereka, Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho ke majlis anugerah Ballon d’Or di Paris.

Permintaan ini muncul selepas pemilik baharu United, Ineos, yang kini mengendalikan operasi bola sepak di Old Trafford, memulakan langkah penjimatan besar-besaran, termasuk pengurangan kos staf dan pemberhentian 250 pekerja pada musim panas lalu.

Menurut laporan media, United telah meminta City agar Mainoo dan Garnacho menumpang jet peribadi yang telah disewa oleh City untuk membawa pemain mereka ke acara yang sama.

Garnacho dan Mainoo dicalonkan untuk anugerah Kopa Trophy kali ini

Namun, permintaan ini ditolak oleh City atas alasan pesawat itu penuh, memandangkan lapan pemain mereka dicalonkan untuk pelbagai kategori anugerah Ballon d’Or.

United memilih untuk meminta tumpangan ini kerana penerbangan dua pemain dalam jet peribadi dilihat kurang sesuai dari sudut kos dan impak kelab.

Amalan berkongsi penerbangan antara pemain sebenarnya sering dilakukan oleh kelab-kelab apabila pemain perlu pergi ke tugasan antarabangsa, terutamanya dari Amerika Selatan.

City yang merupakan juara Liga Perdana Inggeris musim lalu mencatatkan jumlah pencalonan terbanyak daripada mana-mana kelab Inggeris di Ballon d’Or kali ini.

Empat pemain mereka, Ruben Dias, Phil Foden, Erling Haaland, dan Rodri dicalonkan dalam kategori lelaki, manakala tiga lagi pemain wanita mereka, Yui Hasegawa, Lauren Hemp, dan Khadija Shaw tersenarai dalam kategori wanita.

Pemain muda City, Savinho, juga dicalonkan untuk anugerah Kopa Trophy, bersaing dengan Garnacho dan Mainoo.