MENGAPA sehingga kini jumlah sebenar penajaan dan nilai hak penyiaran Liga Malaysia bagi musim 2025-2026 masih belum diperincikan kepada umum?
Persoalan itu semakin lantang dibangkitkan ketika kelab berdepan cabaran kewangan dan penyokong mahukan ketelusan dalam pengurusan liga.
Hak siaran televisyen adalah antara sumber pendapatan utama liga profesional. Justeru, berapa nilai sebenar yang diperoleh bagi musim 2025? Berapakah jumlah keseluruhan penajaan yang diraih? Dan daripada angka itu, berapa yang diagihkan kepada setiap kelab?
Ketiadaan pengumuman rasmi secara terperinci membuka ruang spekulasi serta tanda tanya mengenai struktur agihan kewangan liga.
Ketelusan bukan sekadar slogan, sebaliknya asas kepada tadbir urus profesional. Kelab memerlukan maklumat jelas untuk merancang perbelanjaan, mengurus gaji pemain dan memastikan kelangsungan operasi.
Sebagai perbandingan, liga utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris mengumumkan nilai hak siaran dan pecahan agihan kepada kelab secara terbuka, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti.
Pendekatan sedemikian bukan sahaja mengukuhkan keyakinan penaja dan pelabur, malah memberi gambaran jelas mengenai kestabilan liga.
Dalam era bola sepak moden, pengurusan kewangan yang telus menjadi kayu ukur profesionalisme sesebuah organisasi.
Terdahulu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tentang tiada sesiapa membincangkan berkenaan krisis ‘tv rights’ yang tidak diberikan kepada pasukan bertanding.
“Mengapa tiada seorang pun yang cakap berkenaan krisis sebenar seperti pucuk kepimpinan lama badan induk tak beri duit ‘tv rights’ kepada pasukan bertanding? Mengapa tiada seorang pun bangkitkan isu Malaysia tiada pertandingan kompetitif untuk pembangunan belia?
Justeru, penjelasan terperinci mengenai jumlah keseluruhan penajaan musim 2025 serta mekanisme agihan kepada kelab dilihat penting bagi meredakan persoalan dan memastikan keyakinan terhadap Liga Malaysia terus terpelihara.