BELUM pulih dari belenggu kecederaan, pesilat wanita negara Nor Farah Mazlan tetap berazam mempertahankan gelaran pada Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi minggu depan.
Farah, yang akan beraksi dalam acara Tanding 50 kilogram (kg) wanita, mengakui cabaran mempertahankan kejuaraan kali ini tidak mudah.
Kecederaan yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu masih dalam proses pemulihan, namun semangatnya tidak pernah luntur.
“Saya belum pulih sepenuhnya, masih rasa sakit, tetapi rawatan fisioterapi dan rehabilitasi di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN) tetap berjalan seperti biasa. Dengan sokongan pasukan, jurulatih, dan keluarga, saya yakin mampu kembali memberi aksi terbaik,” kata Farah, pesilat dari Kota Belud, Sabah.
Pesilat berusia 26 tahun itu tidak pernah menjadikan kecederaan sebagai alasan untuk mengalah, malah tekadnya untuk berjuang tetap membara.
“Saya sudah bersilat sejak kecil, dan tanggungjawab sebagai pesilat negara membuatkan saya tidak mahu menyerah. Apa pun cabaran yang datang, saya akan berikan segalanya untuk membawa pulang pingat emas,” tegasnya.
Farah turut mengakui persaingan sengit bakal dihadapi daripada lawan seperti Vietnam, Indonesia, dan Singapura, yang terkenal dengan kehebatan fizikal serta teknikal mereka.
“Mereka sangat kuat, tetapi saya fokus untuk memperbaiki diri sendiri dan berada di tahap terbaik. Tekanan itu ada, tetapi ia hanya mengingatkan saya untuk kekal berdisiplin dan cergas. Saya akan jadikan pengalaman ini sebagai pembakar semangat,” katanya.
Farah sebelum pernah membuktikan dirinya sebagai pejuang sejati apabila berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 walaupun berdepan kecederaan patah tiga jari.
Malah, dia juga cemerlang merangkul emas Kelas A (45-50kg) pada Kejohanan Silat Terbuka Indonesia.
Kini, walaupun masih dihimpit kecederaan, Farah bersedia menampilkan aksi terbaiknya di Abu Dhabi demi mengharumkan nama negara.