KERANA nila setitik, boleh rosak susu sebelanga…begitulah kemungkinan yang berlaku hasil pergeseran gandingan utama beregu campuran di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Masalah persefahaman dihadapi dua pemain itu sehingga mahu dipisahkan, kini memberi tekanan kepada gandingan meningkat naik, Hoo Pang Ron-Chen Su Yin.

Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto berkata, tekanan itu terzahir pada aksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC), apabila Pang Ron-Su Yin tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas kepada beregu tidak ternama India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.

Ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto

“Saya rasa dia (Pang Ron) lebih tertekan kerana tiba-tiba jadi nombor 1 (Malaysia) dalam ranking BWF.

“Mereka sudah berada di ranking ke-12, 13 dunia dan ada kemungkinan mereka berfikir sedikit sahaja lagi (nak masuk Top10). Jadi apabila menjadi beregu utama negara, expectation itu terlalu tinggi sehingga ada masanya tidak mampu dikawal,” kata Nova, ditemui di ABM.

Menurut Nova lagi, semakin tinggi ranking pemain, harapan diletakkan juga bertambah sekali gus meningkatkan tekanan dan beban ke atas pemain.

“Mental pemain perlu kuat, kadang-kadang pemain mudah ‘koyak’… nak jadi pemain atasan (Top Player) harus kuat dan melepasi fasa ini, tiada jalan singkat.

Beregu campuran yang tengah meningkat naik, Hoo Pang Ron-Chen Su Yin merasai tekanan selepas menjadi beregu campuran no 1 di Malaysia.

“Jika kalah, ya sudah kalah llupakan sahaja dan harus fikir mengapa mereka kalah.”

Beliau mengakui, dalam aksi di Ningbo, China, tiada pasangan campuran negara yang beraksi dengan baik.

Beliau menambah, kekalahan Pang Ron-Su Yin kepada pasangan India itu bukan disebabkan kehebatan pemain lawan: “Sebaliknya mereka tewas kerana saya lihat mereka ‘down’ (kecewa) sehingga hilang fokus.

“Jadi, di Piala Sudirman nanti, sandaran pasti terarah kepada Goh Soon Huat-Shevon Lai yang lebih konsisten dan stabil.”

Justeru, beliau merumuskan kemelut prestasi dihadapi Pang Ron-Su Yin ketika ini, hanyalah krisis keyakinan diri.