BERAKHIR sudah kempen Netball Super League (NSL) 2022 dengan pasukan Johor Jewels dinobatkan sebagai juara baharu selepas menewaskan penyandang gelaran, KL Wildcats dalam perlawanan akhir di Stadium Juara Bukit Kiara.
NSL 2022 yang disertai lapan pasukan boleh dianggap sebagai cemerlang dan berjaya mengumpul pemain-pemain bola jaring terbaik di bawah satu bumbung serta dapat mencungkil bakat-bakat baharu sukan yang popular ini.
Kehadiran ribuan penyokong bukan hanya pada aksi final membuktikan populariti sukan ini dan gesaan agar dilangsungkan di venue yang lebih besar sudah kedengaran dari para penyokong.
Penaung DiRaja Bola Jaring Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam nyata gembira dengan kejayaan Jewels dan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam NSL ketika ditemui Flash Sukan pada final semalam.
Selain itu Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula teruja dengan perjalanan kejohanan ini dan gembira melihat kehadiran penyokong yang ramai kerana sukan ini mempunyai eleman hiburan yang menarik.
Kegembiraan ini juga dikongsi bersama oleh Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM), Alwiyah Talib yang berbangga dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh para pemain berbanding edisi sebelum ini
Selain Johor Jewels yang diangkat sebagai juara dan KL Wildcats naib juara, Selangor Angels berjaya menyamai rekod lalu mereka dengan mendapat tempat ketiga manakala kejutan dilakukan skuad muda Pahang Tulips yang berjaya mendapat tempat keempat.
Selain anugerah berpasukan, beberapa anugerah individu turut diberikan pada malam gemilang itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada usaha para pemain yang sangat komited membahagikan masa di antara kerjaya, pelajaran dan juga latihan.
Anugerah Pemain Muda Terbaik menjadi milik pemain Wildcats, S.Pavitrah dengan Anugerah Pertahanan Terbaik diberikan kepada pemain import Jewels dari Sri Lanka, Gayani Samanthika manakala teman sepasukannya, Fariha Razak dianugerahkan gelaran Penyerang Terbaik.
Goal Shooter (GS) muda yang meningkat naik dari Pahang Tulips, Siti Maisarah Affandi diangkat sebagai Penjaring Terbaik manakala ketua pasukan KL Wildcats, Diyanah Sabadinee dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP).
NSL 2022 juga adalah medan terbaik buat banyak pasukan sebagai persediaan menghadapi cabaran Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung pada September nanti dengan banyak pemain-pemain muda diberikan pendedahan yang baik.
Tahniah kepada para pemenang dan NSL 2022 membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat-bakat baharu dalam bola jaring sekaligus memberikan indikator yang baik buat sukan ini terutama buat pasukan bola jaring Malaysia.