JAWATANKUASA Olimpik Malaysia (NOC Malaysia) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada wakil tunggal negara, Aruwin Idami Salehhuddin, yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026.

Aruwin dijadual turun dalam dua acara ski alpine yang berlangsung di Tofane Alpine Skiing Centre, Cortina d’Ampezzo, sekali gus menandakan penampilan keduanya di pentas Olimpik Musim Sejuk.

Acara pertama membabitkan disiplin giant slalom wanita yang akan berlangsung pada Ahad, diikuti saingan slalom wanita pada Rabu.

Bagi kedua-dua acara, larian pertama dijadual bermula pada jam 10 pagi waktu tempatan bersamaan 5 petang waktu Malaysia, manakala larian kedua akan bermula pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan atau 8.30 malam waktu Malaysia.

NOC Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kehadiran Aruwin membawa harapan besar negara untuk terus melebarkan penyertaan dalam sukan musim sejuk di pentas tertinggi dunia.

Menurut badan itu, pengalaman yang dimiliki atlet berkenaan diharap mampu membantu beliau memberikan saingan terbaik meskipun berdepan barisan peluncur ternama dari negara tradisi sukan berkenaan.

“NOC Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memberikan sokongan padu kepada Aruwin ketika beliau menggalas cabaran negara di Milano Cortina.

“Kami mendoakan kejayaan beliau dalam kedua-dua acara yang akan disertai,” menurut kenyataan itu.

Aruwin sebelum ini mencipta sejarah tersendiri apabila muncul antara atlet perintis negara dalam disiplin ski alpine, sekali gus membuka laluan kepada lebih ramai atlet tempatan untuk menceburi sukan musim sejuk.

Tumpuan kini terarah kepada kemampuan beliau memanfaatkan pengalaman di pentas Olimpik bagi menghadirkan aksi terbaik buat negara.