PERSATUAN Bola Sepak Melaka (MUSA) bakal mengambil alih dan menyusun semula Melaka United bermula saingan Liga Malaysia musim depan.
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya berjanji akan memastikan segala hutang tertunggak dibayar sebelum musim 2023 dibuka tirai bagi memastikan pasukan itu kekal bertanding.
Katanya lagi, bagi isu tunggakan gaji pemain dan pegawai MUFC, pihaknya meminta Kenteam Sdn Bhd untuk menyelesaikan segala tunggakan yang berlaku memandangkan MUSA sama sekali tidak terbabit berkaitan aspek pembayaran.
Perkara itu, katanya, termaktub dalam klausa yang ditandatangani Datuk Seri Justim Lim ketika mengambil alih pasukan itu pada 14 Ogos 2020.
“Sebagai Presiden MUSA yang baru dilantik, saya berjanji akan menyelesaikan segala masalah yang timbul berkaitan tunggakan tiga bulan gaji pemain seperti yang dibangkitkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Insya-Allah kita masih ada masa untuk selesaikan segala tunggakan gaji, begitu juga dengan tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM600,000,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kongres Luar Biasa MUSA di sebuah hotel di Banda Hilir.
Nur Azmi berkata, perkara terbabit bakal dibincangkan secara terperinci bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam masa terdekat.
Hadir sama, Timbalan Presiden MUSA Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden MUSA Datuk Khairi Anuar Ahmad dan barisan Jawatankuasa MUSA.
Sementara itu, Nur Azmi bertemu para penyokong Melaka dan berjumpa dengan wakil kelab penyokong yang aktif bagi menerangkan perkembangan semasa berkaitan MUSA serta memaklumkan perancangan terbaru persatuan di bawah kepimpinan beliau bersama barisan Ahli-Ahli Eksekutif MUSA.
Sesi bertemu penyokong di ketuai oleh Lekir Ahmad bersama sebahagian ketua-ketua kelab penyokong yang aktif menyokong perjalanan bola sepak Melaka.
“Semoga pertemuan ini dapat memperjelaskan lebih lanjut isu berkaitan pasukan Melaka United yang tidak dapat beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2022,” katanya.
Isu tunggakan gaji yang tidak berkesudahan yang menimpa skuad Melaka United musim ini menyebabkan mereka disingkirkan daripada saingan Piala Malaysia 2022.