PELAYAR tunggal negara yang sudah layak beraksi ke Sukan Olimpik Paris, Nur Shazrin Mohamad Latif perlu meningkatkan kekuatan dan kecergasan fizikal jika berhasrat melakukan kejutan meraih pingat di temasya sukan terbersar dunia itu, Julai depan.

Dengan situasi saingan di Paris yang dijangka bergelora, jurulatih baharu, Julia Martins merancang persiapan buat Nur Shazrin, menjalani latihan di Eropah bermula Mac.

Nur Shazrin Mohamad Latif layak ke Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

Menurut Julia, latihan intensuif selama beberapa minggu di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, di Pulau Langkawi menjadi persiapan awal membantu Nur Shazrin mendapatkan prestasi terbaiknya.

Tambah beliau, pelayar negara itu juga akan menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 18 hingga 27 April depan, sekali gus menjadi peluang terbaik buatnya mengukur prestasi semasa.

Jurulatih baharu pelayaran negara, Julia Martins merancang latihan lebih keras seabgai persediaan Nur Shazrin Mohamad Latif ke Paris 2024.

“Ini cabaran yang sengit, jadi kami perlu meningkatkan sedikit kecergasan dan ketahanan dia (Nur Shazrin). Kami akan jalani latihan selama tiga minggu di Langkawi dan akan berhadapan dengan angin di Malaysia serta latihan di gim dan berbasikal sebelum berlepas ke Palma, Sepanyol pada 23 Mac ini.

“Pertandingan di Perancis (Last Change Regatta) itu adalah sesi kelayakan terakhir ke Olimpik Paris 2024 dan untungnya kami sudah layak. Jadi di sana nanti kita akan gunakan peluang ini untuk latihan rasmi kita bersama kumpulan pelayaran dari negara lain.

Nur Shazrin Mohamad Latif sumbang pingat emas pertama buat kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou, China, tahun lalu sekali gus melayakkan diri secara merit ke Paris 2024.

“Semasa Olimpik, kami jangkakan keadaan angin kencang dan bergelombang, sebab itu kami merancang untuk menjalani latihan di Eropah terutama di Palma yang lebih kurang dengan Marseille, Perancis venue bagi sukan pelayaran,” katanya.

Nur Shazrin, 26, sedar persaingan amat sengit menantinya yang mahu memberi aksi terbaik selain berharap dapat membaiki keputusan di Olimpik sebelum ini.

Ketika tampil kali pertama di Olimpik Rio 2016, Nur Shazrin menduduki tempat ke-33 dan tempat ke-26 di Tokyo 2020. Disebabkan itu dia berharap Olimpik ketiganya kali ini akan lebih baik.