KEPRIHATINAN Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) diharap berterusan dalam menjaga kebajikan ahlinya, sebagaimana usaha yang dilakukan ketika ini.

Olimpian negara, Rosman Alwi berkata, sebagai bekas atlet, ramai yang tidak memiliki taraf hidup yang baik, namun usaha yang dilakukan Yakeb, sekurang-kurangnya menunjukkan golongan sepertinya masih di hargai, terutamanya selepas menabur bakti kepada negara selama ini.

Rosman menjadi antara 50 bekas atlet dipilih untuk menerima sumbangan membabitkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000 berserta barangan asas untuk membuat kuih muih raya.

Rosman Alwi tetap menghargai usaha Yakeb tanpa mengira nilai sumbangan kepada bekas atlet.

“Saya mewakili semua bekas atet mengucapkan terima kasih kepada Yakeb dan DPMUM di atas inisiatif mereka menghargai dan mengingati ahli-ahli sukan.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu atlet meringankan beban keperluan harian.

“Saya harap bantuan ini akan berterusan. Tak kira banyak atau sikit ia sekurang-kurangnya membantu belanja harian kami,” kata Rosman pada majlis Sumbangan Ramadan Al-Mubarak.

Yakeb bersama Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) menjalinkan kerjasama menyantuni bekas atlet negara sempena program Penyerahan Sumbangan Ramadan Al-Mubarak.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (dua dari kiri) bersama bersama Yang DiPertua DPMUM, Muhammad Ismail Abdul Haiyee (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada ahli Yakeb. 

Sementara itu Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, kesudian DPMUM amat dihargai terutamanya seleaps mahu meneruskan jalinan kerjasama yang terjalin sejak tahun 2022 lagi.

“Saya berasa sedikit lega apabila masih ada yang hadir menghulurkan bantuan dan bertanya khabar. Mendengar keluh kesah bekas atlet seperti mana yang dilakukan Yakeb.

“Baik bekas atlet normal mahupun para, kesemuanya dipantau dan mendapat segala yang diperlukan mengikut kesesuaian semasa,” kata Noorul.

Barisan bekas atlet kebangsaan yang juga ahli Yakeb hadir ke Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Kiara, menerima sumbangan menjelang Aidilfitri.

Noorul mengakui, sumbangan dan sokongan Yakeb tidak akan terhenti hari ini berikutan ada lagi tiga lagi majlis akan dianjurkan untuk menyantuni bekas atlet negara termasuklah majlis bersama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Katanya, pemilihan bekas atlet yang dipilih adalah mengikut kriteria yang ditetapkan oleh penaja.

Yakeb-DPMUM pernah berkolaborasi pada 2022 dengan menghulurkan bakul rezeki berbentuk makanan asas kepada atlet kebangsaan yang mana ketika itu seramai 50 atlet dari seluruh negara dipilih menerimanya.

“Sebelum ini kita pernah menyantuni bekas atlet di Negeri Sembilan, kita akan menggandakan usaha untuk menyantuni bekas atlet yang berada di negeri-negeri lain pula.