HARAPAN skuad bola sepak negara untuk terus bersaing dalam kempen Piala Asia 2027 berakhir apabila tujuh pemain warisan Malaysia kekal digantung selama 12 bulan selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), hari ini.

Keputusan itu menyaksikan rayuan yang dikemukakan secara bersama oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditolak, sekali gus mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Dalam kenyataan rasmi CAS, badan itu memaklumkan penggantungan selama 12 bulan terhadap pemain berkenaan dikekalkan, namun hukuman tersebut hanya melibatkan larangan beraksi dalam perlawanan rasmi.

Ini bermakna kesemua pemain masih dibenarkan menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.

“Larangan daripada bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah dikira sebagai sebahagian daripada tempoh hukuman.

“Oleh itu, rayuan para pemain sebahagiannya diterima dan hukuman terbabit dipinda sebahagiannya,” menurut kenyataan CAS.

Bagaimanapun, CAS turut mengekalkan keputusan FIFA yang mengenakan denda sebanyak CHF350,000 terhadap FAM selepas panel mendapati hukuman itu wajar dan seimbang berdasarkan kes yang dibawa.

“Panel CAS juga memutuskan bahawa denda CHF350,000 terhadap FAM adalah wajar dan seimbang,” jelas kenyataan itu lagi.

Dengan keputusan tersebut, skuad Harimau Malaya tidak lagi dapat menggunakan khidmat tujuh pemain berkenaan dalam kempen kelayakan yang sedang berlangsung, sekali gus menyaksikan Malaysia secara rasmi tersingkir daripada saingan Piala Asia 2027.