PERSATUAN Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) menghormati keputusan XOX Berhad yang mengumumkan pembubaran pasukan Perak FC serta penarikan diri daripada Liga Super musim hadapan, walaupun keputusan itu memberi tamparan hebat kepada bola sepak negeri.

Dalam satu kenyataan rasmi, Presiden PAFA, Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin menegaskan bahawa pihaknya memahami tindakan yang diambil oleh XOX Berhad, memandangkan syarikat itu memiliki 100% saham dalam Perak FC. Walaupun begitu, PAFA tetap merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada XOX Berhad atas segala sumbangan mereka kepada bola sepak Perak selama ini.

PAFA juga tidak menafikan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa pemain-pemain Perak FC, khususnya barisan pemain muda yang kini berdepan ketidakpastian kerjaya. Dalam usaha membantu, PAFA berikrar untuk menawarkan sokongan dan bantuan mengikut keupayaan sedia ada, dengan memberi tumpuan penuh terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negeri.

Meskipun landskap bola sepak negeri tergoncang dengan pembubaran ini, PAFA komited memastikan pembangunan sukan ini di setiap daerah tidak terjejas. Fokus kini terarah kepada pembentukan skuad muda untuk temasya SUKMA 2025/2026, selain merancang untuk memberikan pendedahan kompetitif kepada pasukan tersebut dengan kemungkinan menyertai Liga A1 atau A2.

Dalam masa terdekat, PAFA juga akan merujuk dan mendapatkan pandangan daripada Kerajaan Negeri Perak, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) bagi menentukan langkah terbaik demi kelangsungan bola sepak negeri.

Dato’ Mohd Azhar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Perak dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada PAFA, sambil menegaskan komitmen penuh persatuan untuk melahirkan generasi baru pemain berwibawa dan berintegriti bagi masa depan bola sepak negeri Perak.

tamat