SELEPAS hampir sebulan lalu diumumkan sah berpisah, gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kembali ke pentas antarabangsa hari ini.
Menurut Tang Jie, dia dan Ee Wei enggan menoleh ke belakang lagi dan menganggap penampilan pertama dalam kempen Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China ini sebagai suatu keputusan yang tepat.
“Rasanya amat bagus untuk kembali bersama ke siri kejohanan Jelajah Dunia dan kejohanan pertama kami adalah atas nama Malaysia – kami mahu berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan… kami amat teruja hari ini dapat bermain pada perlawanan pertama,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas menghadiahkan mata pertama negara, ketika menentang Australia, pada perlawanan kedua kumpulan C, Piala Sudirman yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang.
Selepas menyaksikan pasangan nombor 3 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai turun pada perlawanan pertama menentang Perancis semalam, Tang Jie berkata: “Kami masih cuba menyesuaikan diri dengan angin dan gelanggang… ia situasi berbeza kerana stadium ini sangat besar.”
Perkara itu diakui Ee Wei yang menegaskan bahawa bulu tangkis yang digunakan pada sesi latihan rasmi sebelum kejohanan, amat berbeza berbanding yang digunakan pada pertandingan, kerana ia lebih laju.
“Ya bulu tangkis ini berbeza. Kami tiba awal dan dua hari menguji gelanggang, jadi kami perlu sesuaikan diri lagi dengan bulu tangkis berbeza dan pergerakan angin yang berbeza.
“Apapun saya gembira kami turun pada perlawanan pertama, sebagaimana edisi dua tahun lalu,” kata Ee Wei.
Mengulas mengenai perlawanan terakhir kumpulan C menentang Jepun, yang dijadualkan pada Khamis, Ee Wei menegaskan yang dia tidak kisah walau sesiapapun diturunkan jurulatih dalam acara beregu campuran, kerana misi pemain tetap sama iaitu menghadiahkan satu mata buat pasukan.
Pada perlawanan pertama menentang Perancis, Malaysia menang 5-0.