SKUAD hoki Bawah 16 Tahun t Pahang berjaya muncul juara kategori lelaki selepas menewaskan Selangor 2-1 pada aksi final Kejohanan Hoki B-16 Tahun Lelaki dan Perempuan Kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Gol menerusi pukulan sudut penalti oleh Nazmi Rahimi pada suku kedua dan Hakeem Danish pada suku ketiga sudah cukup untuk memberikan kejuaraan kepada Pahang dengan Selangor mendapat gol saguhati pada minit terakhir permainan.

Sementara itu dalam perlawanan merebut tempat ketiga dan keempat, Perak berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dengan dua gol dalam dua minit pada suku ketiga oleh Fareez Zafran dan Amirul Khairul Anuar.

Dalam kategori perempuan pula, Pulau Pinang berjaya bangkit dari ketinggalan untuk muncul juara apabila membenam cabaran Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final yang cukup mendebarkan.

Dua gol oleh Nur Iman Adawiyah pada minit ke-46 dan 57 di suku keempat memadam kelebihan dimiliki Negeri Sembilan yang mendahului menerusi jaringan sudut penalti Irdina Madihah pada minit ke-22 suku kedua.

Tempat ketiga menjadi milik Perak selepas berjaya menewaskan Melaka 2-0 hasil jaringan Nur Zuha Qistina pada minit ke-15 dan Asmida Md.Daud 12 minit sebelum perlawanan berakhir.

Kejohanan anjuran dan tajaan sepenuhnya oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ini adalah medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan hoki bagi memastikan pelapis yang berkualiti berjaya dilahirkan selaras dengan objektif Program Pembangunan Hoki Kebangsaan.

Pasukan juara mendapat trofi dan medal sekaligus bergelar juara remaja kebangsaan dan memberikan sinar buat sukan hoki negara.