SKUAD hoki lelaki negara memulakan kempen FIH Hockey Men’s Nations Cup 2025-26 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan meyakinkan 5-2 ke atas Scotland dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Hartleyvale, Cape Town, hari ini.

Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang berbisa, Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak gol padang seawal minit kelima bagi meletakkan Speedy Tigers di hadapan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mencari gol seterusnya.

Memasuki separuh kedua, anak buah Sarjit Singh menggandakan kelebihan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-34 sebelum Scotland merapatkan jurang lima minit kemudian melalui Jamie Golden.

Bagaimanapun, Malaysia kembali mengukuhkan cengkaman apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menyempurnakan gol padang pada minit ke-42 untuk meletakkan pasukan negara mendahului 3-1 selepas tamat suku ketiga.

Momentum cemerlang Speedy Tigers diteruskan pada suku terakhir apabila Azrai sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49.

Scotland cuba bangkit menerusi jaringan Andrew McConnell pada minit ke-57, namun Azrai melengkapkan malam gemilangnya dengan gol ketiga peribadi dua minit kemudian untuk memastikan kemenangan 5-2 memihak kepada Malaysia.

Kejayaan itu memberikan tiga mata berharga buat Malaysia dalam misi memburu slot ke peringkat seterusnya selain meningkatkan keyakinan pasukan menjelang baki saingan Kumpulan A.

Azrai muncul wira pasukan dengan hatrik, manakala Akhimullah dan Aiman turut menyumbang satu gol masing-masing dalam kemenangan bergaya tersebut.