PEMAIN pertahanan Penang FC, Fairuz Zakaria kemungkinan besar berisiko untuk mendapat penggantungan sebanyak enam perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ini selepas pemain berusia 27 tahun itu menunjukkan isyarat lucah dalam aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Kedah D.A FC pada 28 Jun lalu.

Susulan dengan kejadian itu, Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat pertuduhan kepada Fairuz, di mana ia perlu dijawab sebelum atau pada 10 Julai ini. Perkara ini dikongsikan oleh Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew ketika ditemui media.

“Secara ringkasnya, surat itu ditujukan kepada Fairuz Zakaria mengenai tingkah lakunya ketika minit ke-88 perlawanan menentang Kedah di Stadium Bandaraya.

Fairuz berisiko untuk digantung sebanyak enam perlawanan oleh FAM selepas menunjukkan isyarat lucah

“Dia dituduhkan menunjukkan isyarat kesat dan tidak senonoh dan dia diberikan masa untuk tunjuk sebab sebelum pihak FAM membuat keputusan mengenai hukuman terhadap kesalahan yang dilakukannya dalam surat tersebut.

“Dia diberikan tempoh seminggu dan pada 10 Julai ini, dia mesti menjawab surat itu. Dia mempunyai hak untuk membalasnya atau tidak tetapi pihak pengurusan mengarahkannya untuk menjawab surat itu,” katanya.

Jeffrey juga berharap insiden ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pemain agar dapat mengawal emosi dan mematuhi peraturan perlawanan.

“Kami sebagai sebuah kelab juga berharap semua pemain dapat mengikut apa peraturan yang sudah ditetapkan.

“Jika dia benar-benar bersalah, kami sebagai kelab akan mebuat keputusan terbaik untuk mengingatkan pemain itu dan pemain lain bahawa kami tidak akan beroleransi terhadap kelakuan seperti itu,” tambahnya.