KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon nyata teruja melihat perkembangan positif Muhammad Safawi Rasid yang kini mempunyai lebih minit permainan sejak diberi peluang beraksi 90 minit bersama kelab Thailand, Ratchaburi.

Pan-gon turut melihat perubahan sosok tubuh Safawi Rasid yang kelihatan tampil lebih kurus dari sebelum ini serta ia memberi petanda baik bagi anak jati Terengganu itu menampilkan prestasi terbaiknya sebagai seorang penyerang berkualiti.

“Saya gembira melihat Safawi kerana saya sudah lama tidak melihat beliau beraksi selama 90 minit.

“Dia berdepan permulaan yang sukar di sana. Namun kini semua berada dalam keadaan yang baik. Saya teruja kerana beliau sudah menurunkan berat badan, yang mana satu petanda positif. Saya boleh nampak Safawi Rasid gembira. Jadi saya harap beliau mengekalkan prestasi,” kata Pan-gon.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu berdepan kesukaran dari segi mendapatkan makanan halal namun tetap positif dengan perkembangannya sebagai seorang penyerang tulen yang diberi kepercayaan kelab dari Thailand itu.

Pan-gon berharap ada yang akan membantu dirinya mencari makanan halal dan memudahkan urusannya meskipun berada di negara majoriti beragama Buddha.

“Safawi mula menunjukkan kepada saya kegembiraannya setelah berada di sana, tetapi mungkin berdepan sedikit masalah dari segi mendapatkan makanan halal.

“Sekiranya ada sesiapa yang boleh membantunya di sana nanti, yang lainnya nampak jelas dia gembira, dan harap prestasinya dikekalkan dalam latihan (skuad Harimau Malaya) nanti,” jelasnya.

Safawi beraksi cemerlang pada Khamis apabila mencatat satu bantuan gol ketika berjaya membawa pasukannya ke peringkat separuh akhir Piala Liga Thai.