Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam proses penyerahan dokumen membabitkan kes tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.

Menerusi satu hantaran di platform X, baginda menimbulkan persoalan mengenai pihak yang melakukan kesilapan dalam proses penyerahan dokumen kepada badan bola sepak antarabangsa.

“Siapa yang buat wrong submission? Agent dan siapa dalam Persatuan Bolasepak Malaysia? Mengapa tak submit dokumen yang sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara?” soal baginda dalam kenyataan tersebut.

Menurut baginda, isu yang timbul sebenarnya berkaitan pemalsuan dokumen dan proses penyerahan dokumen, bukannya soal kelayakan kerakyatan pemain.

Baginda turut mempersoalkan mengapa dokumen sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara tidak dihantar ketika proses pendaftaran pemain dilakukan.

Kenyataan itu hadir selepas keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan terhadap tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Tunku Ismail turut menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kesilapan dalam proses pentadbiran perlu tampil memikul tanggungjawab, dan bukannya meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pemain.

Sumber Gambar: BERNAMA