STRUKTUR pasukan Harimau Malaya yang berbeza digabungkan dengan kerjasama jenama sukan terkemuka dunia, PUMA, disifatkan sebagai satu era baharu untuk pasukan bola sepak kebangsaan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, kerjasama itu menjadi perkara yang cukup ikonik dengan mengharapkan kerjasama itu mampu meningkatkan moral pemain dan barisan kejurulatihan untuk melonjakkan prestasi.
“Kepakaran PUMA dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi, tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.

Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin bersamaPengarah Urusan PUMAAsia Tenggara & Oceania menunjukkan jersi baharu Harimau Malaya.
“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau, selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian FAM dan PUMA Malaysia.
Pada majlis itu juga, PUMA memperkenalkan jersi baharu skuad Harimau Malaya.
Jersi rasmi “Home” dan “Away” pasukan kebangsaan itu direka menggunakan warna ikonik kuning dan hitam, melambangkan kebanggaan dan daya tahan.
Jersi itu menampilkan teknologi ULTRAWEAVE revolusioner PUMA, yang direka untuk keselesaan, ringan, fleksibiliti, dan tahan lasak, bagi membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi.
Edisi terhad jersi Harimau Malaya, berharga RM319, kini boleh didapati di kedai PUMA terpilih di seluruh negara, memberi peluang kepada peminat untuk menunjukkan sokongan terhadap pasukan kebangsaan dan jenama tersebut.
Sebelum ini, Nike menjadi penaja pakaian dan jersi rasmi Harumau Malaya untuk tempoh 18 tahun dari Januari 2007 hingga Disember 2024.