DALAM kemelut isu hangat penggantungan tujuh pemain warisan, skuad Harimau Malaya mengambil langkah drastik dengan mengunci mulut daripada mengeluarkan sebarang komen lanjut.

Skuad Harimau Malaya terbang ke Vientiane hari ini, dengan fokus sepenuhnya kini beralih kepada aksi getir Kelayakan Piala Asia menentang Laos pada Khamis ini.

Tumpuan skuad kebangsaan kini adalah 100 peratus terhadap perlawanan penting di Laos itu, sebagai usaha untuk mengelak isu kontroversi daripada menjejaskan persiapan pasukan.

Sebelum ini, kem Malaysia berdepan dakwaan serius mengenai penggunaan dokumen palsu atau tidak sah oleh tujuh pemain warisan baharu ketika aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam.

Meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertegas bahawa kesemua pemain terlibat adalah warganegara Malaysia yang sah dan FIFA sendiri telah menerima serta meluluskan dokumen pendaftaran mereka sebelum ini, ketujuh-tujuh pemain tersebut kekal digantung selama 12 bulan dan turut dikenakan denda.

FAM juga dikenakan denda, dan tempoh 10 hari yang diberikan FIFA untuk mengemukakan rayuan tamat pada hari ini.

Walaupun tempoh rayuan semakin suntuk, FAM menegaskan mereka tidak akan memberikan komen lanjut buat masa ini. Sebaliknya, badan induk bola sepak negara itu memutuskan untuk hanya akan mengemukakan rayuan setelah dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA dikeluarkan.

“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima,” kata FAM dalam kenyataan rasmi minggu lalu.

Ini bermakna, nasib pemain warisan tersebut kini terikat pada proses di belakang tabir, sementara Harimau Malaya perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di padang tanpa kehadiran mereka.