SKUAD Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) negara berjaya mengesahkan slot ke acara utama Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam pusingan kelayakan Asia Tenggara yang berlangsung minggu lalu.

Kejayaan itu hadir selepas pasukan Malaysia menampilkan prestasi konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan, termasuk mencatat kemenangan penting ke atas Laos, Indonesia dan Singapura.

Keputusan tersebut membolehkan Malaysia menamatkan kempen dalam kelompok lima terbaik rantau Asia Tenggara, sekali gus meraih tiket ke temasya sukan terbesar Asia tahun depan.

Barisan pemain negara yang menggalas cabaran terdiri daripada Muhammad Razif Sazali, Muhammad Nazhan Mohd Nor, Ammar Asyraf Abd Rahman, Ealtond Rayner, Muhammad Aqif Haiqal Azman dan Mohammad Zul Hisham Mohd Noor.

Malaysia turut disenaraikan bersama empat lagi wakil terbaik Asia Tenggara iaitu Filipina, Kemboja, Indonesia dan Myanmar yang turut berjaya melangkah ke pentas utama.

Dalam pada itu, saingan kelayakan zon lain turut menyaksikan Arab Saudi, Jordan dan Iran muncul wakil dari Asia Barat, manakala Kazakhstan serta Uzbekistan mewakili Asia Tengah.

Bagi zon Asia Selatan dan Timur, Mongolia, Hong Kong dan China turut berjaya mengesahkan tempat selepas melepasi kempen kelayakan masing-masing.

Pencapaian ini dilihat sebagai satu perkembangan positif buat arena e-sukan negara, khususnya dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pencabar utama dalam acara MLBB di peringkat Asia.